Pengarah Jabatan LINK dan Pejabat BNM, Arlina Ariff berkata, karnival berkenaan telah diadakan di Sabah, Sarawak dan utara Semenanjung Malaysia dan kini ke Pantai Timur bagi meningkatkan kesedaran tentang produk, perkhidmatan dan celik kewangan serta memperkukuhkan keupayaan pengurusan komuniti menerusi pusat sehenti untuk belajar sambil berhibur.

Menurutnya, karnival yang mengangkat tema Utamakan Keperluan Kewangan Anda turut disertai lebih 45 institusi kewangan dan agensi bagi mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan.

“Ini termasuk produk perbankan Islam, pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perlindungan insurans takaful dan e-pembayaran. Masyarakat tempatan akan mendapat pencerahan mendalam tentang pelbagai perihal berkaitan kewangan seperti perancangan dan penipuan kewangan dan saluran bantuan penyelesaian kewangan.

“Karnival mesra keluarga ini menawarkan pelbagai aktiviti termasuk forum perdana mengenai kewangan dan hal ehwal Islam, Pocket Talks, aktiviti kanak-kanak dan hadiah sehingga RM150,000. Aktiviti menarik lain termasuk sesi perkongsian istimewa oleh pengembara selebriti dan pengacara, Mat Dan dan Caprice serta konsert mini oleh Aiman Tino dan Shafiq Farhain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Arlina, siri jerayawara akan turut dianjurkan untuk mempromosikan karnival yang bertajuk Sembang Santai Bersama Rakan-Rakan Karnival Kewangan di 11 lokasi di Pahang, Terengganu dan Kelantan bermula 18 hingga 31 Mac.

Katanya, Karnival Kewangan akan menjelajah seluruh Pantai Timur sebelum berakhir di Kuala Terengganu selama tiga hari.

“Ia penting untuk memastikan rakyat Pahang, Kelantan dan Terengganu mendapat manfaat daripada kesedaran produk dan perkhidmatan kewangan yang disediakan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE