Menurut SIRIM, projek itu memanfaatkan tenaga daripada biogas yang tidak digunakan dengan tujuan menghasilkan bahan api alternatif yang mematuhi piawaian automotif dan mempromosikan aktiviti pengurangan gas rumah hijau.

Katanya, ia juga menunjukkan daya maju pengeluaran Biogas Asli (BioNG) pada skala semi komersial dan mengukuhkan pengkomersialan BioNG sebagai bahan api alternatif kepada loji kuasa diesel dan pengguna industri.

“BioNG adalah gas asli yang dihasilkan daripada sisa bio seperti sisa kelapa sawit, sisa makanan atau sisa industri. Ini adalah bahan api bio generasi kedua dan mempunyai jejak karbon terendah di antara pelbagai sumber tenaga.

“Penggunaan biogas sebagai bahan api kenderaan dan penggantian bahan api diesel untuk enjin pegun adalah perkara baharu di Malaysia, ini adalah sebahagian daripada inisiatif SIRIM untuk menyokong mobiliti hijau dalam komuniti perladangan dan industri kelapa sawit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Anugerah itu disampaikan kepada Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof. Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani di Bangkok semalam.

Projek BioNG SIRIM melibatkan reka bentuk, membina, membuat dan mengendalikan loji siap komersial di Merotai, Tawau, Sabah untuk menghasilkan biogas termampat yang dihasilkan daripada efluen kilang minyak sawit (POME).

Loji itu boleh menghasilkan 6,000m3 BioNG atau kira-kira 6,000 liter diesel setiap hari. Pengujian dan pentauliahan loji itu telah siap pada November 2017.

BioNG yang dihasilkan oleh SIRIM untuk digunakan di dalam dan di luar tapak, boleh meningkatkan kelestarian pengeluaran minyak sawit dan alam sekitar.

Ciri-ciri menarik BioNG SIRIM termasuk mengurangkan jumlah pelepasan gas rumah hijau, serta mengurangkan penggunaan gas berasaskan petroleum dalam sektor tenaga dan pengangkutan.

Tidak seperti gas petroleum, BioNG adalah salah satu bahan api hidrokarbon paling hijau di pasaran dan mempunyai jejak karbon terendah.

Projek ini dibiayai bersama oleh SIRIM dan MOSTI (kini Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, MESTECC) di bawah Dana Sains Teknologi Inovasi Nasional.