Walaupun kebanyakan peng­analisis melihat kadar ini kekal pada 3.3 peratus seperti tahun lalu tetapi data AmBank Research menunjukkan hanya terdapat pertambahan 6,800 pekerjaan baharu pada Januari lalu dengan kadar pengangguran pada 3.4 peratus.

Menurut Ketua Ekonominya, Dr. Anthony Dass, pada paras tersebut ia menandakan empat bulan berturut-turut kadar pengambilan pekerja semakin perlahan berbanding 44,000 pekerjaan yang direkodkan pada Disember 2018.

Katanya, kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) bagaimana­pun meningkat kepada 68.6 pe­ratus pada Januari berbanding 68.5 peratus bulan sebelumnya.

“Apabila prospek pertumbuhan domestik dijangka perlahan pada 4.5 peratus, ia akan memberi tekanan kepada peningkatan kadar pengangguran pada tahun ini yang boleh mencecah 3.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2018,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Semalam, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan tumbuh mendatar pada 4.7 pe­ra­tus tahun ini dan kemungkinan berkembang 4.75 peratus dalam tempoh jangka sederhana.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 4.7 peratus bagi suku keempat 2018 menjadikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2018 pada 4.7 peratus, berbanding 5.9 peratus yang direkodkan pada 2017.

Berdasarkan Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Keempat 2018 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan 1 Mac lalu, jumlah jawatan yang ditawarkan oleh sektor swasta meningkat kepada 8.54 juta pada suku keempat 2018 berbanding 8.48 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Sebahagian besar jawatan adalah dalam kategori separuh mahir iaitu 5.31 juta (62.2 peratus), berbanding 2.08 juta (24.4 peratus) bagi kategori mahir dan 1.15 juta (13.4 peratus) bagi ka­tegori berkemahiran rendah.

Sementara itu, menurut firma penyelidikan, MIDF Research, pasaran kerja masih didominasi oleh pekerjaan berkemahiran rendah yang menyaksikan pekerjaan asas merangkumi 77.6 peratus peluang kerja pada tahun lalu diikuti operator (11.8 peratus) dan pekerjaan berkemahiran sederhana dan tinggi (10.6 peratus).

Katanya, sebelum krisis ekonomi global pada 2009, peluang kerja untuk berkemahiran rendah adalah kurang daripada 50 peratus tetapi pada 2005, pekerjaan asas dan operator terdiri daripada 30.9 peratus dan 15.4 peratus.

“Pekerjaan berkemahiran tinggi seperti pegawai kanan, profesio­nal dan juruteknik menyumbang sebanyak 19.8 peratus pada 2005 berbanding 4.2 peratus pada 2018.

“Dalam erti kata lain, bagi setiap 100 pekerjaan yang ditawarkan pada tahun lalu, 89 daripadanya adalah berkemahiran rendah, tujuh untuk kemahiran sederhana dan empat bagi kemahiran tinggi,” katanya.

Mengikut data MIDF Research, sebanyak 91,300 pekerjaan direkodkan secara purata setiap bulan, lebih rendah berbanding 123,000 pada 2017.

Sebahagian besar pekerjaan itu disumbangkan menerusi sektor pembuatan iaitu 31,500 pekerjaan dalam sebulan, pertanian (20,000 pekerjaan), perkhid­matan (19,900 pekerjaan) dan pembinaan (15,900 pekerjaan).

“Bagi separuh pertama tahun ini, kami menjangkakan trend yang lebih sederhana bagi peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan disebabkan ketidaktentuan dalam dagangan glo­bal,” katanya.