Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Abdul Karim Abdullah berkata, sidang kemuncak yang bertujuan mewujudkan idea dan konsep yang akan memacu inovasi radikal dan tambahan itu akan diadakan di Kuala Lumpur pada 17 hingga 18 Julai ini dan 20 hingga 21 Julai ini di Kuching.

“Saya yakin sidang kemuncak itu akan memacu negara untuk berada di barisan hadapan pendigitalan dalam menuju ke arah IR4.0 bersama-sama penggiat industri khususnya daripada sektor swasta,” katanya pada sidang akhbar mengenai program tersebut di sini hari ini.

Mohd. Abdul Karim berkata, Malaysia belum menjadi penggiat aktif teknologi sempadan dan sehubungan itu beliau berharap sidang kemuncak itu akan membuahkan idea-idea radikal dan tambahan sebagai sebahagian daripada strategi negara dalam menggerakkan rantaian nilai dan mempercepat pacuan pendigitalan dalam kalangan sektor swasta.

“Kita perlu memainkan peranan ini dan kami gembira kerana mendapat sokongan daripada badan kawal selia yang lain.

“Kami berharap sidang kemuncak ini akan dianjurkan lagi pada masa akan datang supaya teknologi ini dapat dikongsi kepada masyarakat sekali gus meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Lebih 1,000 delegasi dijangka menghadiri sidang kemuncak itu yang akan menampilkan ahli panel tempatan dan antarabangsa terkemuka serta pakar-pakar, selain mempamerkan teknologi IR4.0. - BERNAMA