Selepas keluar kira-kira 10 kilometer dari kilang Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. di Sungai Buloh, Selangor, saya mula rasa tidak selesa dengan motosikal bersesaran 250 cc ini terutama di Lebuh Raya PLUS menuju pejabat di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Berat badan tertumpu ke lengan disebabkan kedudukan penunggang yang membongkok, membuatkan bahagian itu mula rasa lenguh.

Keadaan sama saya alami semasa menunggang uji superbike (SBK) lain meskipun jauh lebih besar kapasiti enjinnya. Mungkin sesekali naik motosikal jenis sedemikian, timbul rasa begitu. Kalau sering naik mungkin tiada hal. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

LAMPU belakang yang unik dan mudah dilihat dari jauh.
LAMPU belakang yang unik dan mudah dilihat dari jauh.

LINCAH

Namun sebaik sahaja memasuki pusat bandar, sedikit demi sedikit saya mula lupa ketidakselesaan pada R25 itu. Malah menunggangnya bertukar menjadi seronok pula.

Meredah kesesakan lalu lintas, jentera Yamaha ini ternyata lincah. Tidak ragu-ragu tersangkut bar hendal pada cermin sisi kereta ketika mencelah deretan kenderaan. Dengan berat hanya 166 kilogram (kg) dan tinggi tempat duduk 780 milimeter (mm), lagilah mudah mengendalikannya. Macam naik kapcai pula rasanya!

Fork depan jenis terbalik ternyata memberikan tindak balas cukup berkesan semasa membrek dengan mengejut dan menukar lorong secara pantas. Cukup stabil.

Justeru, nak dijadikan R25 sebagai pengangkutan harian dalam bandar rasanya tiada masalah.

Dengan enjin empat lejang lapan injap, ia menghasilkan kuasa maksimum 26.5 kilowatt (kW) pada 12,000 rpm dan daya kilas maksimum 22.6 Newton meter (Nm) pada 10,000 rpm.

Paling laju saya mampu pecut di lebuh raya tidak cecah pun 140 kilometer sejam. Mungkin berat badan saya yang hampir 90 kilogram jadi punca.

JATUH CINTA

Walau bagaimanapun, dari segi penampilan, R25 memang cun. Sekali pandang pun boleh jatuh cinta! Mana tidaknya, reka bentuknya diilhamkan daripada model YZR-M1 yang digunakan Yamaha dalam perlumbaan MotoGP.

Ini termasuklah lampu depan berkembar diod pemancar cahaya (LED). Bukan setakat nampak sporty, pencahayaan cukup membantu di laluan gelap yang tiada lampu jalan. Begitu juga memudahkan pengguna kenderaan lain melihat kehadiran jentera ini dari jauh.

Ciri-ciri lain YZR-M1 yang ada pada R25 ialah reka bentuk fairing dan skrin depan. Ada salir udara tengah untuk mengalirkan udara sejuk ke enjin secara maksimum.

SISTEM ampaian cukup baik, meyakinkan penunggang.
SISTEM ampaian cukup baik, meyakinkan penunggang.

Selain itu, suis penghidup enjin 3 dalam 1 yang dipasang menyamai ciri-ciri pada motosikal berkuasa tinggi.

Didatangkan dengan dua warna menarik iaitu biru dan merah, R25 ditawarkan pada harga mampu milik RM19,998.

Bagi saya, R25 sesuai untuk mereka yang mahu upgrade daripada kapcai untuk mendapat feel sebuah SBK secara perlahan-lahan. Apabila sudah mahir dan cukup yakin dengan pengendalian R25, maka bolehlah mula menabung untuk beli model Yamaha lain yang lebih tinggi kuasa enjinnya.