Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Eddy Yap Wai Hong berkata, BioCNG memiliki potensi untuk menjadi sumber minyak bio baharu di negara ini selepas kejayaan biodiesel berasaskan kelapa sawit.

Jelas beliau, kedua-dua Bio­CNG dan biodiesel mempunyai persamaan iaitu dihasilkan menggunakan bahan mentah daripada industri kelapa sawit dan diklasifikasikan sebagai minyak hijau yang boleh diperbaharui.

“BioCNG banyak digunakan dalam sektor industri dan peng­angkutan sebagai pengganti kepada bahan api fosil. Untuk permulaan kami akan memperke­nalkan BioCNG untuk pasaran domestik.

“Bagi rancangan jangka sederhana dan panjang kami menyasarkan untuk mengeksport beberapa produk kami dalam bentuk gas asli cecair bio (Bio-LNG) ke Eropah, China, Jepun dan Korea Selatan. Kami berharap inisiatif ini bukan sahaja membantu mewujudkan industri hiliran kelapa sawit yang kukuh, malah menyediakan alternatif untuk pengurusan sisa yang lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara FGVPI, BDSB dan Sime Darby Energy Solutions Sdn. Bhd. (SDES) di sini hari ini.

Yang turut hadir CEO Kumpulan FGV Holdings Berhad (FGV), Datuk Haris Fadzilah Hassan; Ke­tua Pegawai Operasi Sektor Perladangan FGV, Syed Mahdhar Syed Hussain dan Pengarah Urusan Sime Darby Industrial Sdn. Bhd., Teoh Cy Kuan.

Tambah Wai Hong, pelaburan itu termasuk pembangunan 35 tapak kilang milik FGVPI untuk tempoh beberapa tahun akan datang dengan kilang pertama dijangka beroperasi pada suku kedua tahun depan.

Sementara itu, Haris Fadzilah berkata, FGV ketika ini menjana kira-kira 170 juta meter kubik gas bio setahun dari 30 tapak kilangnya yang bersamaan dengan satu hingga 1.5 juta liter diesel setahun bagi setiap ladang kelapa sawit.

“Kesemua pihak akan menggabungkan kepakaran yang dimiliki bagi memastikan usaha sama ini dilaksanakan dengan jayanya. Kami tidak mengeluarkan sepanjang perbelanjaan modal (capex) kerana menyediakan tapak sedia ada kepada BDSB untuk dibangunkan,” katanya.