Pengerusinya, Datuk Zaiton Mohd. Hassan berkata, dana itu bertujuan menyokong 17 Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Katanya, di bawah dana tersebut, BPMB akan menyediakan pembiayaan pada kadar subsidi sebanyak dua peratus kepada syarikat yang menunjukkan sumbangan berterusan terhadap 17 SDG.

“Dana ini menawarkan pinjaman bagi tempoh lima tahun untuk perbelanjaan operasi dan sehingga 15 tahun bagi perbelanjaan modal, ditawarkan subsidi faedah sebanyak dua peratus,” katanya pada majlis pelancaran SDFF di sini hari ini.

Dana berkenaan dilancarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

SDFF adalah satu daripada tiga dana berasingan bernilai RM4.5 bilion di bawah Kementerian Kewangan yang memberi mandat kepada BPMB untuk menguruskannya di bawah Belanjawan 2019.

Pada majlis sama, Guan Eng turut mengumumkan inisiatif baharu, Dana Industri Pendidikan Mapan yang akan dilaksanakan oleh BPMB bagi menyokong usaha pendidikan dalam kalangan masyarakat yang mana bukan saja mementingkan penjagaan persekitaran tetapi mencegah sebarang usaha merosakkan alam sekitar.

Mengulas inisiatif terbaharu itu, Zaiton berkata, dana berkenaan akan dilancarkan secepat mungkin dengan sasaran saiz dana berjumlah RM10 juta di peringkat awal.

“Selain BPMB, kita juga akan mendapatkan kerjasama daripada rakan korporat lain untuk meningkatkan saiz dana berkenaan.

“BPMB akan menjadi penggerak utama, mengawal dan pengurus dana manakala individu dan perbadanan turut digalakkan untuk menyumbang kepada dana itu,” katanya.