BNM berkata tahap akomodatif dasar monetari itu adalah sejajar dengan pendirian dasar pada kadar semasa OPR.

"Pihak MPC akan terus memantau serta menilai risiko membabitkan unjuran pertumbuhan domestik dan inflasi kerana menyedari wujudnya risiko ekonomi dan persekitaran kewangan yang lebih rendah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut bank pusat itu, ekonomi negara berkembang pada kadar lebih sederhana iaitu 4.7 peratus pada 2018.

Bagi 2019, pertumbuhan itu dijangka mampan dengan sokongan oleh perbelanjaan sektor swasta yang berterusan manakala keadaan pasaran pekerja dan pengembangan kapasiti yang stabil dalam sektor utama akan terus memacu perbelanjaan isi rumah dan pelaburan modal.

Selain itu, sokongan daripada sektor luaran dijangka menjadi sederhana dan seiring dengan momentum pertumbuhan global pada kadar serupa.

"Momentum pertumbuhan menunjukkan tanda-tanda sederhana berikutan perkembangan seumpamanya yang dialami oleh kebanyakan negara-negara maju dan sedang pesat membangun.

"Prospek pertumbuhan pula mungkin terjejas berikutan ketegangan perdagangan yang tidak dapat diselesaikan dan kekal menjadi faktor utama risiko serta menjejaskan kegiatan pelaburan dan perdagangan global.

"Keadaan kewangan global yang semakin ketat dan peningkatan ketidakpastian politik dan dasar juga berkemungkinan membawa kepada pelarasan pasaran kewangan dan seterusnya menjejaskan prospek keseluruhan," kata bank pusat itu. - BERNAMA