Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamat, Khairul Kamarudin berkata, sejak produk itu ditawarkan pada Mac 2018 di semua cawangan Bank Muamalat, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan diluar jangkaan.

Beliau berkata, pakej M-Jannah yang ditawarkan amat berpatutan iaitu serendah RM59 untuk individu hingga RM249 bagi pakej keluarga, boleh diperbaharui secara tahunan.

“Pada akhir Januari lalu, kira-kira 4,500 pelanggan telah mengambil produk ini dan ia adalah salah satu produk dengan permintaannya masih meningkat” katanya berucap dalam majlis meraikan setahun bersama produk M-Jannah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat, Peer Mohamed Ibramsha; Naib Presiden yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Kekayaan Bank Muamalat, Sarimah Bashah; Pengerusi Eksekutif Bumijez, Mohamad Zainal Khamis dan Ketua Pegawai Eksekutif Bumijez, Abdul Halim Hamzah.

Menurut Khairul, jumlah keahlian sedia ada masih kecil berbanding jumlah penduduk Islam di negara ini.

Jelasnya, M-Jannh berbeza dengan khairat kematian ditawarkan di masjid-masjid atau surau-surau kerana ia bukan sahaja menyediakan bantuan pengkebumian tetapi juga wang khairat kematian, zikir, tahlil, khatam al-Quran, badal haji dan perlindungan takaful untuk yang terlibat kemalangan.

Sementara itu, Sarimah dalam sidang akhbar Kemudiannya memberitahu, sasaran peningkatan keahlian itu dijangka merekodkan jualan sebanyak RM9 juta bagi tempoh setahun kepada bank.

“Kita yakin dapat mencapai sasaran ini mengambil kira sambutan daripad orang ramai. Ketika ini sambutan banyak untuk pakej individu,” katanya.

Jelasnya, penawaran pakej M-Jannah yang pertama seumpamanya ditawarkan institusi perbankan di negara ini, melengkapkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan Bank Muamalat kepada para pelanggannya.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal berkata, selain memenuhi tuntutan fardu kifayah, syarikat juga berhasrat menzahirkan kasih sayang ahli-ahli kepada waris dan keluarga mereka agar tidak terbeban pada hari kematian dengan caruman serendah RM59 setahun bagi inidividu.

“Menerusi rangkaian bersama lebih 1,000 pengurus jenazah di seluruh negara, kami meletakkan keutamaan untuk menyegerakan tuntutan pengurusan jenazah yang kengkap dan mengikutbhukum syarak,” katanya. - UTUSAN ONLINE