.
.HUSNI SALLEH

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Datuk Husni Salleh berkata, pelbagai inisiatif yang terkandung dalam Bajet 2018 akan menyediakan kaedah lebih holistik, inklusif, berfokus dan berdaya maju ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan negara.

Katanya, inisiatif berkenaan juga sejajar dengan usaha TKB yang telah dilancarkan awal tahun ini yang memberi amanah kepada Teraju dengan peranan lebih meluas dalam memastikan pendidikan, kesihatan, sosial dan budaya serta persekitaran hidup bumiputera ke tahap lebih tinggi sekali gus terjalin dalam fabrik sosial masyarakat majmuk Malaysia.

“Dalam konteks landskap sosial yang pantas dan ekonomi global yang semakin kompetitif ketika ini, Bajet 2018 yang menyentuh pelbagai isu kritikal kepada kita sebagai bumiputera untuk berubah dalam mengejar kecemerlangan.

“Pendekatan yang diumumkan, kebanyakannya hanya dapat dijayakan melalui perubahan minda dalam memastikan bumiputera tidak lagi ketinggalan berbanding masyarakat lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan telah membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Najib mengumumkan melalui Bajet 2018, dasar kerajaan menerusi TKB akan terus diperkasa menjadi agenda nasional de­ngan pelbagai peruntukan khas kepada bumiputera seperti lebih RM3.5 bilion untuk inisiatif meliputi biasiswa dan pembangunan modal insan serta keusahawanan.

Husni berkata, pelbagai inisiatif seperti peruntukan besar berjumlah RM555 juta kepada Program Peningkatan Keusahawanan Bumiputera yang merangkumi RM155 juta untuk program pembangunan kapasiti vendor dan RM90 juta bagi program Peneraju Profesional, Skil dan Tunas amat diperlukan untuk pembangunan ekonomi bumiputera.

“Peruntukan untuk Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) akan sesungguhnya menjana bakat lebih kreatif dan inovatif dalam kalangan usahawan muda dengan setakat ini, RM73.75 juta telah diberikan sejak 2014 menerusi Superb,” katanya.

Jelas beliau, peruntukan RM2.5 bilion biasiswa kepada lebih 90,000 mahasiswa termasuk 1,500 dalam bidang-bidang kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), signalling dan rel mengesahkan komitmen kerajaan bagi menggalakkan kejayaan lebih besar dalam kalangan bumiputera.

Katanya, pendekatan menye­luruh yang rasional, praktikal, berdaya maju dan beraspira­si dalam Bajet 2018 mampu me­macu perubahan fabrik eko­nomi dan sosial negara dalam usaha menjadi negara maju dan berdaya saing.

“Perkara ini juga dapat dilihat melalui peruntukan bernilai RM61.6 bilion bagi meningkatkan kecemerlangan dalam pembangunan pendidikan, latihan, kemahiran dan bakat di samping RM2.4 bilion kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta RM400 juta bagi geran penyelidikan dan pembangunan kepada universiti awam,’’ ujar­nya.

Selain itu kata Husni, kewujudan pusat sehenti Teraju di Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara juga dapat menyediakan bantuan profesio­nal berhubung peluang latihan dan pekerjaan.