Digi.Com Berhad yang dimiliki Telenor dan Axiata dalam makluman berasingan di Bursa Malaysia berkata, kedua-dua belah pihak telah bekerja keras untuk memuktamadkan perjanjian pada suku ketiga tahun ini.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan perbincangan disebabkan beberapa kerumitan yang timbul terhadap cadangan penggabungan ini,” katanya di sini hari ini.

Mei lalu, Axiata dan Telenor berhasrat untuk menggabungkan operasi sekali gus menjadikannya syarikat telekomunikasi terbesar di rantau ASEAN dan Asia Selatan.

Penggabungan mega itu akan menghasilkan sebuah entiti baharu (MergedCo) dan dijangka menghasilkan pendapatan proforma bernilai RM50 bilion dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM20 bilion.

Telenor akan memiliki kepentingan sebanyak 56.5 peratus dalam MergedCo manakala baki 43.5 peratus menjadi milik Axiata. - UTUSAN ONLINE