Digi.Com Berhad yang dimiliki Telenor dan Axiata dalam makluman berasi­ngan di Bursa Malaysia berkata, kedua-dua belah pihak telah bekerja keras untuk memuktamadkan perjanjian pada suku ketiga tahun ini.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menamatkan perbincangan disebabkan beberapa kerumitan yang timbul terhadap cadangan penggabungan ini,” katanya di sini hari ini.

Mei lalu, Axiata dan Tele­nor berhasrat untuk menggabungkan operasi sekali gus menjadikannya syarikat telekomunikasi terbesar di rantau ASEAN dan Asia Selatan.

Penggabungan mega itu akan menghasilkan sebuah entiti baharu (MergedCo) dan dijangka menghasilkan pendapatan proforma bernilai RM50 bilion dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM20 bilion.

Telenor akan memiliki kepentingan sebanyak 56.5 peratus dalam MergedCo manakala baki 43.5 peratus menjadi milik Axiata.

Sementara itu, Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid berkata, pihak lembaga pengarah mengetahui tentang rasio­nal strategik yang kukuh terhadap cadangan transaksi dan menyedari tahap kerumitan yang dihadapi merentasi sembilan negara dan 14 entiti utama.

“Kami tetap yakin penamatan cadangan transaksi ini tidak menjejaskan kumpulan untuk menjuarai cita-cita digitalnya meskipun tanpa sinergi daripada penggabungan. Bagi pihak Lembaga Pengarah Axiata, kami berterima kasih atas sokongan kerajaan Malaysia, pelabur dan semua pekerja kami semasa proses ini,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, Axiata terus mencatat pertumbuhan dan kekal sebagai satu daripada pengendali mudah alih terbesar serantau.

Katanya, Axiata kini beroperasi pada kedudukan yang kukuh, dengan semua lapan syarikat operasi (OpCos) mencatatkan prestasi yang baik dan ia optimis dalam berhati-hati bagi mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2019.

Laporan media semalam mendedahkan selain berdepan kerumitan transaksi yang melibatkan 14 entiti di sembilan negara, penggabungan itu turut berdepan isu-isu komersial, kepentingan negara dan kakitangan serta keengganan Indonesia untuk memberi kebenaran.

Ini kerana Norway merupakan sebahagian daripada Kesatuan Eropah (EU) yang mana kesatuan itu memberi tekanan terhadap import minyak kelapa sawit.