Menurut Axiata, kumpulan telah mencipta nilai dipertingkat yang signifikan dan daya tarikan untuk operasi mereka.

“Banyak syarikat berminat untuk bekerjasama dengan Axiata dan berusaha untuk memperoleh aset kami termasuk Telenor, Mitsui, Sumitomo dan lain-lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Axiata dan Telenor ASA menamatkan perbincangan mengenai cadangan penggabungan aset telekomunikasi dan infrastruktur mereka di Asia disebabkan beberapa kerumitan membabitkan urus niaga dicadangkan tersebut.

Kedua-dua pihak masih akui rasional strategik transaksi yang kukuh itu dan tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan transaksi pada masa depan.

Awal pagi tadi, Bursa Malaysia menggantung dagangan jualan singkat harian proprietari (PDT) dan jualan singkat harian (IDSSS) saham Axiata susulan penurunan harga saham itu selepas Axiata dan Telenor ASA, syarikat induk Digi.com Bhd., memutuskan untuk menamatkan rundingan penggabungan kedua-dua entiti itu.

“Sila ambil maklum bahawa jualan singkat di bawah PDT dan IDSS bagi saham Axiata digantung hari ini memandangkan Harga Dagangan Terakhir Sekuriti diluluskan merosot lebih 15 peratus daripada harga rujukan.

“Jualan singkat di bawah PDT dan IDSS hanya akan diaktifkan semula pada dagangan hari berikutnya, Rabu 8.30 pagi, 11 September,” kata Bursa Malaysia dalam maklumannya hari ini.

Sementara itu, AmBank Research menurunkan saranannya ke atas kedua-dua saham berkenaan kepada ‘simpan’ susulan penilaian adil yang lebih lemah ke atas Axiata dan Digi.

Ia juga menurunkan prospek sektor telekomunikasi kepada ‘neutral’ dari ‘tinggi’ berikutan penamatan unjuran sinergi terdahulu daripada penggabungan sektor dan penurunan persaingan harga yang telah menurunkan margin sektor itu sejak tiga tahun yang lepas.

“Memandangkan kita sebelum ini positif ke atas perjanjian ini, penamatannya bermakna pengembalian kepada persaingan domestik terdahulu antara lima pemain utama Maxis, Celcom, Digi, U Mobile dan Unifi Mobile, tidak termasuk pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) seperti REDtone, yang kini menawarkan pelan pasca bayar yang sangat menarik,” kata AmBank Research.