Kejayaan seseorang pelabur dan pedagang saham ditentukan oleh tindakan pelabur dan pedagang itu sendiri. Malah, kebanyakan pelabur dan pedagang saham tidak mempu­nyai prinsip dan garis panduan dalam pelaburan saham.

Dengan ketiadaan disiplin dan prinsip, mereka sentiasa membuat kesilapan walaupun keada­an pasaran di dalam aliran menaik. Ia juga menjadi bertambah buruk dengan ketiadaan garis panduan dan bimbingan serta tunjuk ajar yang berpanjangan.

Pelabur dan pedagang saham perlu tahu bahawa pasaran saham tidak sama sekali mengalami aliran menurun sepanjang masa. Ia merupakan pergerakan turun dan naik secara berselang-seli. Cuma keadaan ini boleh jadi cepat atau lambat sahaja.

Pasaran saham boleh jatuh dalam tempoh yang panjang atau sekejap sahaja. Satu aliran menaik juga boleh jadi lama atau sekejap. Justeru, pelabur dan pedagang saham perlu tahu bila masa yang sesuai dan tidak sesuai untuk masuk pasaran.

Disiplin

Disiplin merupakan satu faktor yang tidak kurang pentingnya. Sebagai contoh, memasuki pasaran secara agresif tidak kira waktu ke­rana ingin membuat keuntu­ngan yang banyak setiap kali masuk pasaran boleh mengakibatkan seseorang pedagang saham mengalami kerugian yang besar.

Walhal, dia tidak mengetahui bahawa sesuatu kaunter boleh bergerak secara perlahan-lahan atau jatuh dahulu sebelum naik semula atau jatuh terus dan tidak naik dalam tempoh yang lama. Terdapat juga kaunter yang naik dalam julat yang kecil dan kemudiaannya jatuh dan berkeadaan mendatar untuk satu tempoh yang lama.

Maka, pelabur dan pedagang bijak perlu tahu bila waktu yang sesuai dan tidak sesuai untuk memasuki pasaran. Ini terma­suk juga membuat pemerhatian perlakuan pergerakan saham-saham syarikat tersenarai yang ingin dibeli sama ada untuk jangka masa singkat atau panjang.

Terdapat pula pedagang saham jangka masa singkat yang selalu memasuki pasaran tanpa mempedulikan sentimen pasaran atau trend pasaran. Ini juga merupakan salah satu penyebab penyumbang kepada kerugian dalam pelaburan saham.

Sesetengahnya pula berkemampuan dari segi modal pelaburan serta mempunyai pengetahuan tetapi masih terpengaruh dengan kaunter saranan-saranan atau buy call.

Terpengaruh

Cikgu Saham telah dihubu­ngi oleh seorang pengikut di laman sosial Facebook yang menceritakan kerugian ke atas dua kaunter kerana mengikut saranan membeli yang diberikan oleh seorang individu. Walhal daripada perbualan secara mesej peribadi, pelabur tersebut mempunyai pengetahuan tentang pasaran saham dan ilmu analisis teknikal.

Dia selalu mengikuti saranan-saranan membeli ini sehingga mengalami kerugian yang besar dan sehingga kini portfolio pelaburan beliau mempunyai satu waran dan satu waran berstruktur yang hampir tamat tempoh penyenaraian yang di­biarkan begitu sahaja di dalam portfolio.

Pelabur tersebut tidak mempunyai prinsip untuk membuat kajian saham terlebih dahulu apabila menerima saranan membeli ini. Dia terus membeli saham-saham sedemikian kerana meletakkan kepercayaan penuh kepada si pemberi saranan membeli tersebut walhal dia sendiri tidak mengenali secara terperinci atau berjumpa dengan si pemberi saranan membeli itu.

Kes sebegini kerap dan ba­nyak berlaku ke atas newbie atau orang-orang yang baharu melibatkan diri dalam pasaran. Seharusnya newbie ini perlu berhati-hati dan jangan mudah percaya jika ada individu-individu yang menyebarkan saranan-saranan membeli.

Berhati-hati

Pokok pangkalnya, pelabur dan pedagang saham wajib mempunyai ilmu sebelum melibatkan diri dalam bidang saham dan berhati-hati menerima nasihat pelaburan daripada individu yang tidak dikenali.

Sekiranya pelabur dan pedagang saham mengalami kerugian yang disebabkan oleh mengikut saranan membeli ini, maka anda tidak harus mengulanginya sekali lagi atau berkali-kali. Perlu berhenti dan dapatkan ilmu yang betul daripada orang-orang yang diiktiraf le­bih-lebih lagi mempu­nyai profil diri dan berkelayakan dalam bidang saham.

Jangan mudah terpengaruh sekiranya membaca iklan-iklan tentang pembelajaran saham ke­rana tidak semua kursus-kursus dianjurkan oleh orang yang berkelayakan atau badan-badan yang diiktiraf. Jika terdapat kemusykilan atau keraguan, boleh terus hubungi Bursa Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti.