Pengerusinya, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, ASB 3 Didik akan mengagihkan sebanyak RM323 juta dalam pengagihan pendapatan kepada 292,400 pemegang unit yang kini memegang 6.19 bilion unit.

Katanya, bagi ASN Equity 2, pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM43 juta akan memberi manfaat kepada 32,400 pemegang unit dan setakat 31 Mei 2019, ASN Equity 2 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi sebanyak RM43 juta.

“Pengagihan pendapatan bagi pemegang unit ASB 3 Didik ialah 5.25 sen seunit, terdiri daripada pengagihan pendapatan atau dividen sebanyak 4.85 sen seunit dan bonus sebanyak 0.40 sen per unit.

“Pemegang unit ASN Equity 2 pula akan menerima 2.80 sen seunit, bersamaan dengan anggaran pulangan pengagihan sebanyak lima peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih pada 21 Jun 2019,” katanya dalam pembentangan prestasi PNB bagi separuh pertama 2019 dan pengumuman pengagihan pendapatan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad. ASB 3 Didik dahulu dikenali sebagai Amanah Saham Didik, dana harga tetap keempat yang dilancarkan oleh PNB sementara ASN Equity 2, sebelum ini dikenali sebagai Amanah Saham Nasional 2, dana harga berubah kedua yang dilancarkan oleh PNB.

Semua urus niaga bagi ASB 3 Didik dan ASN Equity 2 di semua cawangan akan ditangguhkan buat sementara waktu dari 27 Jun 2019 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019. Urus niaga akan beroperasi semula pada 1 Julai 2019.

Pemegang unit juga dinasihatkan untuk mengemaskini maklumat peribadi dan alamat e-mel melalui ejen ASNB atau cawangan ASNB untuk melakukan transaksi dalam talian. - UTUSAN ONLINE