Malah kini di Malaysia, jika kita lihat di pusat membeli-belah terutamanya, terdapat pelbagai kod QR terpapar di setiap kaunter kedai antaranya Grabpay, Alipay, Boost dan banyak lagi. Tidak ketinggalan Maybank QR Pay.

Apa bagusnya konsep masyarakat tanpa tunai ini?

Ia mampu memberi kesan buruk kepada penipu cukai, keselamatan data, orang miskin dan pengganas. Tetapi ia mungkin baik buat penggodam. Itulah kehidupan sebenar untuk masyarakat tanpa tunai.

Dalam persaingan dengan wang tunai dan bayaran menerusi kad, pemain industri pembayaran dalam talian menawarkan pulangan tunai (cashback) serta pelbagai promosi lain untuk menarik lebih ramai pengguna.

Grabpay misalnya memberi mata ganjaran setiap perbelanjaan menerusi aplikasi itu. Mata ganjaran yang dikumpul sete­rusnya boleh ditebus menjadi baucar. Mungkin ada yang tidak berminat dengan mekanisme ini, tetapi bagi mereka yang bijak berbelanja, ia satu kaedah memancing yang berjaya. Situasi menang-menang konsepnya.

Pembayaran elektronik punca berbelanja lebih?

Sudah pasti setiap negara mempunyai aspirasi untuk menyaksikan pertumbuhan ekonomi. Bagi syarikat perkhidmatan kewangan, lebih kukuh pertumbuhan ekonomi negara, lebih besar peluang buat mereka untuk membuat duit.

Tetapi, pernah tak anda pe­rasan bahawa pembayaran elek­tronik membuatkan kita berbe­lanja secara berlebihan? Tanpa sedar, orang ramai berbelanja melebihi had apabila mereka membayar menggunakan kad kredit berbanding tunai.

Sebab itu, meskipun terdapat pelbagai opsyen pembayaran, wang tunai masih menjadi pilihan utama terutamanya untuk individu yang benar-benar teliti di dalam perbelanjaan mereka.

Mereka merasakan wang yang dipegang secara fizikal akan lebih nampak bernilai dan membuatkan mereka berhati-hati ketika berbelanja supaya dapat berjimat cermat.

Malaysia belum capai tahap masyarakat tanpa tunai

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), Peter Schiesser berpendapat Malaysia masih lagi jauh dalam perjalanan untuk menjadi masyarakat tanpa tunai, berikutan tabiat rakyat Malaysia yang lebih suka berbelanja menggunakan tunai.

Beliau merasakan negara ini hanya akan mampu merea­lisasikan konsep masyarakat tanpa tunai dalam tempoh 20 tahun akan datang.

“Dalam era digital hari ini, adalah terlalu mahal bagi sesebuah negara untuk mencetak wang tunai atau peruncit me­ngendalikan wang tunai.

“Tetapi bukanlah bermakna instrumen tunai akan terhapus esok, ia akan mengambil masa dan saat itu pasti kita akan tempuh, mungkin dalam 20 tahun,” katanya kepada taklimat media mengenai ekosistem pembayaran Malaysia di sini baru-baru ini.

Benar, ekonomi tanpa tunai sepenuhnya sukar untuk diba­yangkan dalam masa terdekat dan dalam era teknologi maju ini, ia kedengaran pelik bukan?

Sedang orang ramai berebut memilih eDompet yang menawarkan promosi diskaun berbaloi, masih lagi terdapat segelin­tir masyarakat membawa duit syiling di dalam koceknya.

Wang tunai masih lagi raja, mungkin?