Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, laporan analisis tersebut adalah tanda komitmen kerajaan bagi memberikan penerangan lebih mendalam mengenai perjanjian tersebut.

Katanya, kajian tersebut yang dijalankan oleh firma antarabangsa PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) menekankan kedua-dua perkara baik dan buruk berkenaan dengan perjanjian tersebut dan ia terpulang kepada rakyat untuk membuat keputusan.

“Apa yang pasti mereka telah mengkaji sedalam-dalamnya mengenai TPPA, kos, faedah dan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi apabila menjadi sebahagian daripada perjanjian ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog TPPA di sini hari ini.

Sesi dialog itu dihadiri kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada pemain-pemain industri dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mustapa berkata, penganjuran sesi dialog seumpamanya itu membolehkan rakyat Malaysia menyuarakan pendapat dan bertanyakan soalan daripada bab-bab tertentu dalam TPPA.

“Ini satu perkara yang baik dan kita tahu rakyat membaca teks tersebut biarpun banyak pihak yang mengkritik, kritikan itu dibuat atas dasar membina, dan ini merupakan satu budaya baharu yang kita perlu terapkan di Malaysia,” katanya.

Ujar Mustapa, kerajaan juga telah melakukan yang terbaik terutamanya dari segi mengekalkan dasar-dasar perlembagaan dan dasar bumiputera.

“Sudah pasti ada yang tidak berpuas hati dan mustahil bagi kita untuk memuaskan semua pihak, tapi sebagai sebuah negara kita harus melihat secara keseluruhan,” katanya.