Imran akan dibantu oleh Takafumi Nakamura sebagai Timbalan Pengarah Urusan dan Tarmizi Abu Bakar sebagai Pengurus Kanannya.

Demikian dimaklumkan bersempena majlis perpisahan Keizo Sato, Pengarah Urusan terdahulu ke atas Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang diadakan di perkarangan Masjid Al Munawwarah Mata Ayer, Padang Besar.

Sato akan meninggalkan Malaysia untuk tugasan baru di ibu pejabatnya di Showa Glove Japan mulai Ogos 2019. Beliau akan pulang ke tanahairnya pada 31 Julai 2019 ini.

Dalam ucapan perpisahan beliau, Sato mempersembahkan ucapan menjunjung kasih ke atas Tuanku Raja dan Tuanku Raja Muda yang sentiasa berkenan memberikan sokongan dan dorongan padu kepada syarikat mereka untuk terus berkembang maju dan membangun selaras dengan pembangunan negeri Perlis sehingga ke hari ini.

Pengalaman beberapa tahun bertugas di negeri Perlis yang amat tenteram serta masyarakat setempatnya yang ramah akan sentiasa terpahat dalam kenangannya.

Imran pula berharap kerjasama erat yang sedia terjalin akan berterusan di masa-masa yang akan datang dari segenap peringkat khususnya dengan agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di Perlis bersama dengan syarikat mereka yang beroperasi di Jejawi Industrial Zone itu.

Selepas majlis tersebut, Sato, Imran dan Tarmizi menyertai Tuanku Raja Muda dalam program kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’.

Tuanku Syed Faizuddin Putra sesudah program itu menitahkan betapa perlunya kita rakyat di negeri dan negara ini mengambil contoh dan inspirasi daripada masyarakat Jepun terutamanya dalam cara mereka memelihara kesihatan diri.

Ini adalah kerana di Jepun bukan saja mereka terkenal dengan sikap berdisiplin, malah rakyat Jepun juga diketahui seluruh dunia mengamalkan pola pemakanan sihat serta bergerak aktif.

Difahamkan beberapa kajian kesihatan melaporkan bahawa rakyat Jepun mempunyai jangka hayat yang tertinggi berbanding lain-lain negara. Gaya hidup mereka sangat teratur dan menyihatkan. Kebanyakan penduduknya memilih berjalan kaki daripada menaiki kenderaan. Mereka berupaya menempuh jarak jauh dengan berjalan bahkan berlari dan dilakukan 2 hingga 3 kali sehari dan rutin ini membuatkan tubuh mereka lebih sihat.