BHIC dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, di bawah kontrak yang diberikan pada 2016, BHICAS menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan tiga helikopter Dauphin AS365N3 APMM bagi tempoh dua tahun dan sembilan bulan sehingga 30 Jun 2019 dengan nilai kontrak RM62.58 juta.

“BHICAS menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri untuk melanjutkan kontrak itu selama setahun berkuat kuasa 1 Julai.

“Tiada sebarang perubahan kepada nilai kontrak dalam surat itu. Selain lanjutan tempoh kontrak tiada sebarang perbezaan ketara antara kandungan kontrak (asal) dan lanjutan surat penerimaan (LOA),” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, LOA itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 dan 2020.

BHICAS adalah usaha sama antara Prestige Pillar Sdn. Bhd. (30 peratus) dan Airbus Helicopters Malaysia Sdn. Bhd. (19 peratus). - BERNAMA