Menurut bank itu, langkah konsolidasi itu juga akan memberi kesan dari segi saingan harga yang menjejaskan margin sektor tersebut sejak tiga tahun lepas.

“Spekulasi mengenai penyusunan semula syarikat milik kerajaan (GLC) kini timbul semula yang turut membabitkan transformasi kos Telekom Malaysia yang radikal,” katanya dalam satu laporan sektor terbabit hari ini.

Bank itu menyatakan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga lebih menumpukan teknologi 5G dengan aspek percubaannya bernilai RM115 juta akan dijalankan di lima negeri pada suku keempat tahun ini.

Malah menurut bank itu, ini merupakan antara perkara yang dibangkitkan dalam sesi taklimat MCMC dengan komuniti pelaburan, semalam.

AmInvestment Bank berkata, standard 5G juga dijangka dimuktamadkan pada April tahun depan.

Selain itu, badan kawal selia tersebut dijangka mengemukakan laporan komprehensif ‘Lima Cabaran Utama dan Pelan Pelaksanaan 5G di Seluruh Negara’ menjelang suku akan datang dan semakan strategik pasaran komunikasi pada suku pertama 2020 yang disusuli dengan sesi rundingan awam.

“Peruntukan spektrum 5G itu masih belum ditentukan kerana menunggu hasil percubaan tersebut, keadaan ekosistem dan peralatan/peranti yang ada,” katanya.

MCMC turut menyebut harga saksama terhadap spektrum itu yang dapat memudahkan pelaksanaan perkhidmatan lebih pantas itu.

Namun, MCMC gagal memberi penjelasan membabitkan cadangan penggabungan Telenor Asia-Axiata pada taklimat itu kerana cadangan berkaitan masih belum dikemukakan oleh pihak terbabit.

Pendapatan pengiklanan (adex) internet itu meningkat secara memberangsangkan pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 19 peratus.

AmInvestment Bank berkata MCMC yang mengambil kira kadar penembusan jalur lebar talian tetap kekal rendah pada 8.1 peratus bagi setiap 100 penghuni, berhasrat melonjakkan kadar itu secara ketara memandangkan kajian Bank Dunia menunjukkan peningkatan 10 peratus penembusan jalur lebar talian tetap dapat menambah ingkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 1.38 peratus di negara membangun.

Ini dapat diterjemahkan kepada peningkatan RM19 bilion berdasarkan KDNK 2018 Malaysia.

Menurutnya, pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga tahun lepas turut membawa kepada penurunan harga jalur lebar pada kadar purata 49 peratus dengan harga kemasukan bagi 30Mbps turun kepada RM79 sebulan daripada RM139 sebulan. - BERNAMA