Beliau berkata tempoh bebas cukai itu akan membolehkan industri merancang dengan lebih rapi mengenai langkah-langkah untuk meningkatkan eksport dan membuka pasaran baharu.

Katanya tempoh tersebut juga akan memberi ruang kepada pengeksport untuk memperluaskan lagi pasaran untuk minyak sawit Malaysia.

"Pengecualian ini akan diberikan walaupun harga minyak sawit mentah mencecah RM2,250 satu tan metrik dan ke atas, iaitu paras yang boleh dikenakan cukai," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Katanya kementerian amat prihatin dengan situasi semasa industri sawit apabila kadar stok minyak sawit berada pada paras 2.92 juta pada 31 Mac, 2019 dan harga minyak sawit mentah pada 26 April, 2019 sebanyak RM2,014.50.

"Dalam keadaan seperti ini, langkah-langkah proaktif yang sewajarnya perlu diambil untuk meningkatkan daya saing industri sawit," katanya.

Teresa berkata kementerian turut berharap Skim Eksport Minyak Sawit Mentah Tanpa Duti Eksport ini dapat mengurangkan stok minyak sawit dan seterusnya meningkatkan harga minyak sawit mentah negara.

"Langkah ini akan membantu industri sawit kita termasuk pekebun kecil di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata kementerian juga akan terus memantau paras stok minyak sawit untuk memastikan ia mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan industri hiliran sawit negara.

Sementara itu, bercakap kepada Bernama di luar Dialog Singapura mengenai Sumber Dunia Mampan Ke-6, di sini hari ini, Kok berkata : "Ini merupakan sesuatu yang kerajaan perlu lakukan untuk membantu industri. Jika harga rendah dan stok minyak sawit tinggi, kerajaan juga tidak mendapat apa-apa."

Beliau ditanya mengenai jumlah hasil cukai yang perlu dilepaskan oleh kerajaan dengan menguatkuasakan pengecualian bebas cukai ke atas duti eksport komoditi itu hingga 31 Dis, 2019.

Terdahulu, teresa menyampaikan ucaptama mengenai "Connecting Markets, Forging Consensus: Partnerships for Sustainable Palm Oil". - BERNAMA