Dalam nota hari ini, firma penyelidikan itu turut mengurangkan harga kepada pendapatan (PE) segmen motor kumpulan bagi didarap kepada 11 kali daripada 12 kali sebabkan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin memuncak.

“Kami turut menurunkan unjuran keuntungan bersih teras bagi tahun kewangan 2020, 2021 dan 2022 masing-masing sebanyak 0.6 peratus, 0.5 peratus dan 0.5 peratus atas andaian peningkatan faedah perbelanjaan daripada pinjaman tambahan untuk membiayai pengambilalihan tiga pengedar kereta mewah Australia dan sumbangan pendapatan daripada pengambilalihan itu,” katanya.

Sime Darby baru-baru ini mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Sime Darby Motors (SD Motors) telah mengambil alih perniagaan aset, liabiliti dan hartanah tiga pengedar kereta mewah di Sydney, Australia daripada unit runcit automotif Inchcape Australia Ltd iaitu Trivett bagi AU$112 juta (RM321 juta).

Tiga pengedar itu mewakili jenama BMW, MINI, Volkswagen, Jaguar dan Land Rover.

“Mengandaikan Sime Darby meminjam daripada bank Australia pada kos pembiayaan enam peratus setahun, pembayaran faedah tahunan akan kira-kira AU$6.7 juta (RM19.3 juta).

“Berdasarkan anggaran kasar kami, pengambilalihan itu akan menyumbang kira-kira AU$4 juta (RM12 juta) kepda keuntungan kumpulan sebelum tahap cukai.

“Kami telah menyelaraskan perubahan itu kepada anggaran kami di masa depan. Pinjaman tambahan itu akan meningkatkan kadar hutang bersih kumpulan daripada 0.06 kali kepada 0.08 kali, yang masih lagi sihat,” katanya.

Secara keseluruhannya, katanya pendapatan daripada segmen motor Sime Darby akan kekal tidak mengujakan dalam tempoh terdekat, dan segmen industri akan kekal sebagai tulang belakang kumpulan untuk memacu pendapatan masa depan.

Pada 11 pagi ini, sahamnya turun satu sen kepada RM2.31 dengan 1.98 juta saham diniagakan.

“Harga saham Sime Darby telah meningkat sembilan peratus sejak kami menaikkan grednya pada 14 Ogos, 2019, dan kami yakin langkah kami menurunkan grednya adalah wajar susulan aliran meningkat harga saham ketika ini adalah terhad,” kata AmBank Research. - BERNAMA