Timbalan Menterinya, Dr. Ong Kian Ming berkata, pada masa sama, pihaknya juga mahu memastikan pelaburan Proton di Tanjung Malim terus berjaya melalui inisiatif pembangunan vendor di sekitar Proton City.

“Katakanlah cadangan (pembukaan hab) di Alor Gajah adalah selari dan melebihi daripada apa yang kita boleh lakukan di Tanjung Malim, kementerian saya sudah pasti sanggup dan boleh mempertimbangkan segala cadangan.

“Projek kereta nasional ketiga merupakan sebahagian daripada semakan Dasar Automotif Nasional (DAN) dan kita menerima segala cadangan daripada sek­tor swasta. Jadi, tiada yang muktamad ketika menilai segala opsyen dan apabila tiba masanya, polisi ini akan diumumkan oleh menteri dengan sokongan Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan siri Forum Taman Industri Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi Wilayah Utara yang dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pemba­ngunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Kian Ming diminta mengulas mengenai kesediaan Melaka menawarkan diri untuk menjadi hab bagi projek pembuatan kereta nasional ketiga biarpun Proton telah banyak melabur dengan memusatkan pengoperasiannya di Tanjung Malim.

Dalam perkembangan berlainan, Kian Ming berkata, beliau mengalu-alukan penukaran model baharu bagi pemba­ngunan taman industri di Perak yang selama ini dibangunkan oleh syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.

Menurut beliau, permintaan terhadap pembukaan taman industri kian meningkat, justeru penjualan tanah kosong semata-mata kepada bakal pelabur seharusnya ditambah nilai dengan penyediaan infrastruktur seperti internet berkelajuan tinggi.