Selain Maahad Tahfiz Al Khatiri (MTAK) yang menjadi projek sulung dan kebanggaannya, Al Khatiri kini memiliki rangkaian perniagaan seperti Al Khatiri Hotel, Al Khatiri Travel & Tours, Restoran Al Khatiri, Al Khatiri Bookstore dan Al Khatiri Boutique.

Kesemua premis milik Al Khatiri Group beroperasi dalam satu lokasi sama di Al Khatiri Point yang terletak di Kubang Kerian kecuali MTAK di Pasir Mas.

 

Terbaharu, syarikat yang diasaskan seorang usahawan tempatan, Salim Salleh melebarkan lagi sayap perniagaan dengan membuka kafe halal eksklusif dan mewah, Al Khatiri Kofee di Al Khatiri Point.

Dalam tempoh tidak sampai seminggu dibuka, kafe tersebut kini menjadi tumpuan warga bandar sebagai alternatif kepada kafe jenama antarabangsa yang baru dibuka di negeri ini sejak tahun lalu iaitu Starbucks dan The Coffee Bean & The Leaf.

Salim yang juga Pengarah Urusan Al Khatiri Group berkata, Al Khatiri Kofee menawarkan produk kopi terbaik dan berkualiti tinggi dengan suasana eksklusif serta layanan VIP untuk para penggemar kopi di Kelantan.

Meskipun berimejkan ‘me­wah’ katanya, pelbagai minuman berasaskan kopi di kafe tersebut dijual dengan harga berpatutan bagi membo­lehkan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang berpeluang menikmati keenakannya.

“Al Khatiri Kofee beroperasi bermula pukul 7 pagi hingga 2 pagi setiap hari di Al Khatiri Point, lokasi sama yang me­nempatkan pelbagai premis kami yang lain seperti Restoran Al Khatiri dan Hotel Al Khatiri.

“Ini adalah percubaan kedua Al Khatiri Group dalam industri makanan dan minuman (F&B) selepas usaha kami membuka Restoran Al Khatiri yang berasaskan makanan Arab eksklusif sejak 2016 mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan,” katanya.

Beliau ditemui selepas pe­rasmian Al Khatiri Kofee yang disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, di sini baru-baru ini.

Salim dalam pada itu memberitahu, sebagaimana amalan pihaknya dalam perniagaan selama ini, sebahagian daripada perolehan dan keuntungan daripada Al Khatiri Kofee akan dikembalikan kepada umat Islam melalui Yayasan Al Khatiri.

“Yayasan Al Khatiri kini me­nguruskan MTAK di kawasan seluas lapan hektar di Pasir Mas. Maktab ini menempatkan 20 pelajar terpilih terdiri daripada anak-anak golongan asnaf.

“Di MTAK, mereka diberikan pendidikan agama dan akuakultur secara percuma. Apabila tamat belajar, anak-anak bukan sahaja mempunyai ilmu agama bahkan mempunyai pengetahuan serta kemahiran dalam bidang akuakultur,” katanya.

Sementara itu, Mohd, Amar memuji usaha Al Khatiri Group mewujudkan kafe berkonsep eksklusif berkenaan di sam­ping menyifatkan produk dan per­khidmatan ditawarkan Al Kha­tiri Kofee adalah setanding kafe jenama antarabangsa yang ada di negara ini.

“Diharapkan Al Khatiri Kofee ini dapat menjadi produk tempatan yang bukan sahaja berkembang ke seluruh negara, malah menembusi pasaran luar negara pada masa depan ter­utama di negara-negara Islam,” katanya.