Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya juga sedang dalam proses untuk menjual sebahagian atau kesemua saham bagi cabang perniagaan pajakan pesawatnya selain 25 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama tempahan pelancongan dengan Expedia Inc.

Menurutnya, syarikat pe­nerbangan tersebut turut mempertimbangkan untuk menjual kepentingan dalam perniagaan makanan, kejuruteraan dan bebas cukai pada masa hadapan walaupun perbincangan ke arah proses tersebut masih belum diadakan.

“Ketika ini kami mempunyai pelbagai jenis perniagaan melibatkan keseluruhan aset melalui usahasama yang terjalin, namun pada masa hadapan kami akan menjual kepentingan dalam usahasama tersebut.

“Kerjasama yang terjalin bukanlah teras perniagaan tetapi hubungan perniagaan itu tetap ada kerana kami akan membiayai dividen khas selepas penjualan segala kepentingan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemeteraian usaha sama AirAsia dengan peneraju perkhidmatan di lapangan terbang dan penyelesaian makanan di Asia, SATS Ltd. bagi kendalian darat di rantau ASEAN yang berkembang pesat.

Kerjasama yang dijalinkan itu antara lainnya menyaksikan AirAsia dan SATS menubuhkan entiti kendalian darat, SATS Ground Services Singapore Pte. Ltd. (SGSS) bagi kemudahan pelanggan di Terminal 4 baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

SATS pula akan mengambil alih 50 peratus kepentingan dalam Ground Team Red Holdings Sdn. Bhd. (GTRH) sebagai pertukaran dengan 80 peratus kepentingan SATS dalam SGSS dengan pertimbangan tunai agregat sebanyak S$119.3 juta (RM370.56 juta),

GTRH akan dikenali sebagai SATS Ground Team Red Holdings Sdn. Bhd. iaitu cabang pelaburan bersama dengan kepentingan seimbang antara AirAsia dan SATS membabitkan pegangan kepentingan di Malaysia dan Si­ngapura iaitu Ground Team Red Sdn. Bhd. (GTR) dan SGSS.

AirAsia akan memegang 51 peratus kepentingan dalam GTR dan 40 peratus dalam SGSS manakala SATS akan memiliki 49 peratus dalam GTR dan 60 peratus SGSS.

Fernandes berkata, pihaknya berharap dapat menyempurnakan proses penjualan cabang perniagaan pajakan pesawatnya yang dianggarkan bernilai AS$900 juta (RM3.81 bilion) menjelang penghujung tahun ini.

Katanya, perbincangan dengan pembeli berpotensi telah berlarutan agak panjang kerana AirAsia mahu memastikan ia mempunyai imbangan tepat di antara harga yang diterima dengan tinggi selain memastikan kos-kos pajakannya adalah munasabah pada masa akan datang.

“Saya rasa ketika ini kami telah mempunyai satu perjanjian sangat baik yang merupakan satu situasi menang-menang kepada AirAsia dan pembeli,” ujar beliau. –REUTERS