Abdul Wahid Omar
Abdul Wahid Omar

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, FDI dianggap lebih utama berbanding aliran modal berbentuk portfolio seperti pasaran saham dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.

Oleh itu katanya, amat penting kepada negara untuk terus mengamalkan dasar yang mesra pelabur bagi menarik minat pelabur-pelabur terutamanya pelabur asing ke pasaran domestik.

“Ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang semakin pulih menyebabkan berlaku aliran keluar modal daripada pasaran negara-negara membangun seperti Malaysia untuk kembali ke negara tersebut.

“Namun modal yang keluar itu lebih berbentuk portfolio, kerajaan lebih mengutamakan pelaburan seperti FDI. Dengan penglibatan negara di dalam pasaran ASEAN secara meluas dan TPPA, ia dapat menawarkan peluang kepada negara untuk menarik syarikat-syarikat multinasional bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat mereka di rantau ini,” katanya selepas merasmikan Persidangan Statistik Malaysia Ketiga 2015, di sini hari ini.

Menurut pengumpulan data oleh firma penyelidikan MIDF Research, sehingga Jumaat lalu jumlah aliran modal asing yang keluar daripada Bursa Malaysia mencecah RM18.2 bilion, berbanding keseluruhan 2014 sebanyak RM6.9 bilion.

Bagaimanapun pada masa sama, dari Januari hingga September 2015 jumlah FDI bersih ke Malaysia telah mencecah RM27 bilion berbanding RM25.6 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu. Sektor pengeluaran merupakan penyumbang utama sebanyak RM11.2 bilion diikuti perlombongan dan kuari sebanyak RM10.8 bilion serta perkhidmatan RM4.4 bilion.

Sementara itu ketika ditanya mengenai trend peningkatan harga barangan pada masa ini, Abdul Wahid berkata, kerajaan sentiasa memantau pergerakan harga barang secara mingguan atau bulanan. Tetapi jelasnya, kerajaan lebih menumpukan usaha untuk meningkatkan pendapatan pengguna berbanding mengawal harga barang semata-mata.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, usaha melatih dan meningkatkan kualiti graduan untuk memenuhi pasaran kerja juga merupakan tindakan berterusan kerajaan untuk memastikan negara tidak mengalami kadar pengangguran yang tinggi, pada masa sama memenuhi kehendak industri.