Naib Presiden Operasi dan Pembangunan Perniagaan China Boeing Commercial Airplanes, Ian Chang berkata, Franke mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan eksekutif dan pengurusan pembekal.

Katanya, Franke yang menyertai Boeing pada 1996 sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Perunding, Kontrak Rantaian Bekalan Boeing Commercial Airplanes.

“Sebelum itu, beliau menggalas tugas di pelbagai rangkaian Boeing serta pernah berkhidmat sebagai Lembaga Pengarah Boeing Tianjin Komposit (BTC) dan menjadi Lembaga Pengarah ACM pada tahun lepas.

“Saya mempunyai keyakinan bahawa peranan berbentuk kepimpinan yang pernah digalas akan menjadikan Franke sebagai pengganti yang sesuai untuk menerajui ACM ke fasa pertumbuhan seterusnya di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Franke berkata, ACM telah mengembangkan inovasi, melabur dalam teknologi dan sumber manusia untuk menjadi peneraju dunia yang diiktiraf dalam pembuatan komposit aeroangkasa.

“Saya amat berbangga untuk menyertai pasukan berkemahiran tinggi dan berdedikasi serta berharap dapat membina asas dan pencapaian cemerlang yang ditetapkan oleh Garza dan pasukannya sebelum ini,” katanya.

Ditubuhkan pada 1998, ACM yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam merupakan sebuah syarikat usaha sama antara syarikat Amerika Syarikat (AS), Boeing dan Hexcel, merupakan peneraju dunia dalam membekalkan produk dan pemasangan komposit kepada industri aeroangkasa global.

Pada 2005, ACM menjadi pengeluar komposit aileron tunggal dunia untuk pesawat komersial Next-Generation 737. - BERNAMA