Berdasarkan perjanjian itu, AAGBS akan menjadi rakan akademik IBFIM bagi mengintegrasi program di bawah kelolaan IBFIM iaitu program Kelayakan Bersekutu Kewangan Islam (AQIF) ke dalam Sarjana Perbankan dan Kewangan Islam (MIBF).

Dekan AAGBS, Prof Dr Nor’Azam Mastuki berkata, dilengkapi dengan AQIF, graduan MIBF lulusan AAGBS akan menjadi lebih cekap, berkemahiran dan berpengetahuan luas dalam ilmu kewangan Islam.

“Ini akan mempersiapkan mereka untuk berkecimpung di dalam kerjaya kewangan Islam dan membuka laluan mereka ke arah mendapatkan kelayakan lebih tinggi seperti Pengiktirafan Kelayakan Dalam Kewangan Islam (CQIF),” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusry Yusoff berkata, pihaknya berharap dapat melahirkan generasi baru profesional kewangan Islam.

“Kami yakin kerjasama ini bakal melahirkan bakat-bakat yang bersedia untuk membawa pembaharuan kepada industri. Kami sangat berbesar hati dapat bergandingan dengan AAGBS dalam usaha ini,” katanya.

Sehingga kini, IBFIM telah bekerjasama dengan lebih daripada 20 institusi akademik termasuk universiti antarabangsa. - BERNAMA