iconic-02

 Lakaran artis projek hartanah komersial Iconic Point yang akan dibangunkan di Simpang Ampat Pulau Pinang.

Iconic Worlwide yang disenaraikan di Bursa Malaysia, amat berbangga apabila projek hartanah komersial sulungnya 100 peratus habis dijual di galeri jualannya di Pulau Pinang dalam tempoh dua hari.

Pengarah Urusan Iconic Worldwide, Datuk Tan Kean Tet berkata, apa yang menggembirakan pihaknya ialah 70 peratus daripada unit komersial itu habis dijual dalam masa 10 minit sejurus pembukaan galeri jualannya di mana para pembeli telah mula beratur sejak awal pukul 4.30 pagi lagi.

“Direka untuk mengulangi kejayaan projek Icon City yang telah disiapkan lima tahun lalu oleh Iconic Development, Iconic Point dijangka menjadi salah satu pusat komersial utama dan mercu tanda di kawasan pembandaran Simpang Ampat. Projek pembangunan bebas itu dijangka siap menjelang suku pertama tahun 2022 akan meninggalkan kesan besar dalam lanskap makanan dan hiburan di tanah besar Pulau Pinang,” katanya di sini hari ini.

Projek hartanah ini terletak di lokasi strategik berdekatan dengan simpang Jalan Permatang Tinggi dan Jalan Bukit Tambun, berdekatan dengan Lebuh raya Utara Selatan.

Iconic Point merupakan projek usaha sama antara Iconic Maison Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Iconic Worldwide, dan Iconic Development Sdn Bhd.

Projek ini melibatkan kawasan seluas 8.7 ekar itu akan menampilkan 49 unit kedai pejabat berkembar dan terpisah berkonsep moden dengan lif dikongsi individu. Terdapat juga tiga laluan pandu lalu cawangan makanan dan minuman dengan penyewa seperti Starbucks.

Selain itu, hotel butik setinggi empat tingkat juga akan dibangunkan di kawasan tersebut, bagi menyediakan kemudahan penginapan yang selesa kepada para pengunjung di Iconic Point.

Keat Tet menambah, ini adalah kali pertama Simpang Ampat mendapat manfaat daripada projek pembangunan seperti ini, kedai pejabat berkembar dan terpisah dengan lif khusus individu, dengan harga yang ditawarkan hampir sama dengan Icon City ketika ia mula dilancarkan tujuh tahun lalu.

“Kami melakukan ini supaya pelanggan dapat menikmati kenaikan harga untuk produk ditawarkan oleh Iconic sehingga menyebabkan ramai pelanggan terus menyokong dan menjadi pembeli berulang bagi projek baharu ini.” katanya lagi.

Reka bentuk projek tersebut menjadikan setiap unit lebih fleksibel bagi memenuhi keperluan perniagaan pelanggan yang semakin berkembang daripada segmen kedai runcit, kafe, restoran dan pub, salun kecantikan, butik dan banyak lagi.

Faktor tersebut kata Keat Tet, akan menjadikan Iconic Point sebagai satu peluang bagi pelabur yang sedang mencari lokasi untuk membangunkan empayar perniagaannya, pusat pelaburan atau pulangan pelaburan yang menguntungkan pada masa depan.