Mustapa Mohamad
Mustapa Mohamad

Menurutnya, selepas penerbitan butir kandungan perjanjian kelolaan Amerika Syarikat itu didedahkan kepada umum awal bulan ini, ia semakin menarik perhatian negara-negara yang tidak terlibat dalam rundingan asal. Malaysia adalah antara 12 negara yang menjadi anggota asal rundingan TPP.

“Lebih ramai orang kini memahami apa kandungan perjanjian tersebut dan `bunyi bising’ atau kritikan kini telah berkurangan sedikit, termasuk di Malaysia.

“Lima negara, termasuk beberapa anggota ASEAN menyatakan minat untuk menyertai TPPA dan meminta sokongan kita semasa mesyuarat rundingan dua hala,” kata Mustapa kepada pemberita selepas Me­syuarat Menteri-menteri APEC di sini malam tadi.

Mustapa berkata, butiran TPPA itu juga memberi keyakinan terutama kepada negara-negara yang selama ini ragu-ragu mengenainya.

Ditanya punca minat `baharu’ negara-negara tersebut mahu menyertai TPP, beliau berkata, ia disebabkan mereka berasa tiada pilihan dan bimbang akan ketinggalan jika tidak berbuat demikian.

Malah ujar beliau, negara-negara tersebut menyifatkan TPP sebagai usaha ke arah zon bebas tarif di Asia Pasifik.

TPPA kelolaan AS itu meliputi 11 negara lain iaitu Malaysia, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam, yang secara keseluruhannya mewakili 40 peratus dagangan dunia.

Mesyuarat APEC di sini, turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai delegasi Malaysia, sekali gus menjadi medan pertemuan pertama para pemimpin 12 negara TPPA termasuk Presiden Barack Obama, sejak penerbitan teks perjanjian siap dan didedahkan kepada umum.

APEC terdiri daripada 21 anggota iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong-China, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, Amerika Syarikat, dan Vietnam.

Anggota APEC yang tidak berada dalam TPP ialah China, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan, Papua New Guinea, Filipina, Russia, Taiwan dan Thailand. – UTUSAN