PENGERUSI ANGKASA, DATUK FATTAH ABDULLAH

Beliau berkata, ini sekaligus meyakinkan pihaknya untuk mencapai sasaran 50 buah koperasi sekolah mendapat perolehan RM1 juta pada tahun hadapan.

"Bilangan koperasi sekolah termasuk koperasi kolej vokasional sehingga hari ini berjumlah 2,421 buah dengan keanggotaan lebih 1.6 juta dan perolehan melebihi RM400 juta.

"Disebabkan itu, kita optimis yang 50 buah koperasi sekolah majoritinya daripada kolej vokasional mampu mencapai perolehan lebih RM1 juta menjelang 2020 kerana rekod pada akhir 2018 menunjukkan 38 koperasi sekolah mampu mencapai perolehan lebih RM800,000,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kolej Vokasional Shah Alam 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kolej Vokasional Shah Alam Norhayati Abdul Rahman.

Angkasa sebelum ini merekodkan enam buah koperasi sekolah di seluruh negara mencapai perolehan RM1 juta, antaranya Koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang; Koperasi MRSM Kubang Pasu, Jitra, Kedah dan Koperasi MRSM Batu Pahat, Johor.

Abdul Fattah dalam pada itu berharap kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan koperasi sekolah di negara ini yang disifatkan sebagai platform terbaik dalam merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan menjelang 2030.

Setiap koperasi di sekolah terutama koperasi sekolah vokasional mempunyai potensi dalam melahirkan usahawan muda.

"Koperasi sekolah diselia oleh guru yang akan mendidik pelajar dalam bidang keusahawanan sepanjang mereka mengendalikan koperasi itu.

"Ini termasuk koperasi sekolah vokasional yang mana sekolah ini mempunyai produk keluaran mereka sendiri, maka saya melihat pasaran untuk produk sekolah ini adalah sangat besar,'' katanya. - BERNAMA