Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azmi Ahmad berkata, nilai perolehan kontrak itu terdiri daripada beberapa kontrak iaitu perkhidmatan dasar laut berjumlah RM500 juta, pemasangan dan pembinaan luar pantai (OIC) (RM250 juta) dan kapal sokongan luar pantai (OSV) (RM240 juta).

Katanya, kontrak tersebut akan menjadikan jadual syarikat itu penuh antara tempoh dua hingga lima tahun.

“Ciri-ciri kontrak yang diperoleh adalah petunjuk jelas peralihan tumpuan perniagaan syarikat itu daripada hanya sebagai penyedia OSV semata-mata kepada penyedia perkhidmatan marin bersepadu dengan memanfaatkan kepakarannya dalam OIC dan perkhidmatan dasar laut.

“Strategi kumpulan adalah konsisten dengan prospek aktiviti jangka sederhana syarikat minyak utama yang menunjukkan peluang amat besar bagi kepakaran OIC dan dasar laut memandangkan Malaysia memiliki banyak aset luar pantai, malahan sebahagiannya dengan operasi melebihi 35 tahun yang mana banyak yang telah mencecah fasa penghujung hayat mereka,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan AMRB di sini hari ini. - BERNAMA