Pengarah Eksekutif The Syner­gy International Co. (TSI), Ahmad Imran Zainul Abidin berkata, perjanjian itu dimeterai melalui perjanjian pengedaran dan memorandum persefahaman antara 12 PKS dengan TSI.

Menurut beliau, jenama makanan tempatan yang terlibat ialah Faiza, Tisha’s, Nani’s, MasterChef, Ain’s Treat, Thalia, Asia Best, Uncle Saba, Mascorn, Shoon Fatt, dan Pops Malaya.

“Kami dapat memastikan bahawa rempah-ratus, roti parata, sos, gandum, martabak, biskut, papadom, jagung, makanan berasaskan ayam dan ais krim keluaran Malaysia kini boleh didapati di Majlis Kerjasama Teluk itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Imran berkata, syarikat itu telah mengimport 23 kontena produk Malaysia yang dihasilkan PKS dan jenama terkemuka sejak setahun lepas.

Katanya, TSI berharap kerajaan Malaysia menyokong sepenuhnya inisiatif PKS tempatan untuk mengeksport produk ke Arab Saudi dengan menyediakan kepakaran teknikal dan akses kewangan kepada mereka.

“Sokongan itu akan membolehkan PKS Malaysia mening­katkan daya saing dan inovasi produk makanan dan minuman mereka di pasaran antarabangsa khususnya Arab Saudi,” katanya.

TSI ialah kumpulan syarikat antarabangsa yang terlibat dalam pembinaan, perundi­ngan kejuruteraan, agro teknologi dan pengedaran barangan pengguna dan cawangan runcit (FMCG) di Arab Saudi.

Di bawah pengedaran FMCG dan cabang runcit, TSI telah menubuhkan pasar makanan popular di bawah nama jenama Asiana Grocer.

TSI juga telah mewujudkan rangkaian pengedaran kukuh meliputi beberapa pasaran perdagangan moden iaitu Sarawat, Star Market, Lulu Hypermarket, Danube, Bin Dawood dan Tamimi.