Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari berkata, kira-kira 60 peratus pempamer adalah syarikat asing termasuk daripada Korea, Jepun, China dan Singapura yang akan memberi peluang kepada syarikat tempatan dan pelawat untuk belajar dan mendapat pengalaman teknologi terkini dalam produk dan teknologi robotik dan automasi.

“Kami menjangkakan 5,000 pengunjung,” katanya kepada pemberita pada prapelancaran Robotex di sini hari ini.

Persidangan itu dianjurkan bersama oleh MARii, One Robotex Sdn. Bhd. dan Persatuan Robotik dan Automasi Malaysia.

Madani berkata, persidangan itu akan membolehkan perserta menerokai teknologi robotik dalam pelbagai bidang seperti kecerdasan buatan (AI), percetakan 3D dan Objek Rangkaian Internet (IoT) dan aplikasi mereka dalam pelbagai industri ke arah meningkatkan daya maju ekonomi Malaysia di masa depan. - BERNAMA