Restoran yang mula beroperasi sejak hampir sebulan lalu itu kini menjadi tumpuan ramai terutamanya penduduk sekitar untuk menikmati kesemua 24 jenis makanan dan minuman pada harga berkenaan.

Idea membuka restoran itu timbul selepas pemiliknya, Anis Mardhiyah Yaakob yang baru berusia 24 tahun terkenangkan pengalaman hidup susahnya bersama enam adik-beradik yang lain ketika usia remaja.

Katanya, sebagai anak kepada seorang pemandu bas, mereka sering berkongsi makanan antara satu sama lain dahulu dan jarang dapat menikmati makanan kegemaran.

“Ketika saya masih kecil, kami tujuh beradik terpaksa berkongsi makanan apabila bapa membawa pulang apa-apa makanan, bahkan nak dapat RM1 daripada bapa untuk beli aiskrim pun jarang.

“Jadi, saya pasang niat untuk bantu orang ramai terutama yang mempunyai anak ramai supaya mereka juga dapat makan di luar dengan harga yang mampu dibayar.

“Niat saya juga adalah untuk bersedekah, jadi saya perlu berniaga dengan ikhlas, saya rasa puas apabila setiap pelanggan termasuk kanak-kanak dapat menghabiskan makanan yang dipesan,” katanya ketika ditemui di restorannya di Kompleks Perniagaan Jitra 2, di sini.

Restoran Makan D' Kafe

ANIS MARDHIYAH YAAKOB (kiri) bersama suaminya, Muhammad Firdaus Nasir menunjukkan menu-menu yang ditawarkan di Restoran Makan D’ Kafe di Jitra, Kedah, hari ini. -UTUSAN ONLINE

Antara makanan yang dijual di restoran itu adalah nasi ayam merah, bihun sup, tomyam, laksa, mi kari, kentang goreng dan pelbagai jenis air seperti sirap laici, root beer float, milo dan lain-lain.

Malah, terdapat juga set pencuci mulut seperti aiskrim brownies, aiskrim waffle dan banana split juga pada harga RM1.70.

Anis Mardhiyah yang dibantu suaminya, Muhammad Firdaus Nasir, 25, berkata, walaupun dijual dengan harga yang murah, namun setiap menu akan dipastikan sedap dan berbaloi berikutan ia dimasak sendiri oleh ibunya, Habibon Hashim, 59.

Kata ibu kepada seorang cahaya mata itu lagi, kehadiran restorannya bukanlah untuk bersaing dengan pengusaha makanan lain sebaliknya lebih kepada kebajikan.

“Saya mengeluarkan modal sebanyak RM20,000 untuk membuka perniagaan di lot premis kedai bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hidangan dengan selesa seperti restoran lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE