Anugerah daripada British Council diberikan dalam satu majlis di Hanoi, Vietnam baru-baru ini kepada Akademi Bahasa UTM bagi usaha membangunkan The Test of English Communication Skills for Graduating Students (TECS).

Dekannya, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdul Raof berkata, TECS dibangunkan bagi mempersiapkan graduan UTM untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik apabila memulakan kerjaya mereka kelak.

Beliau yang juga ketua penyelidik TECS yang dibangunkan menerusi peruntukan diterima daripada UTM memberitahu, TECS ditawarkan kepada penuntut tahun akhir universiti berkenaan.

“TECS diwujudkan oleh UTM bagi memantapkan lagi kemahiran bahasa Inggeris dalam kalangan penuntut tahun ­akhir sejajar dengan permintaan pihak industri dan menjadi satu kelebihan bagi lulusan UTM.

“Kita di Akademi Bahasa gembira dengan pengiktirafan tersebut dan berharap ia akan menjadi pembakar semangat kami untuk terus memantapkan usaha tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Abdul Halim berkata, TECS juga dibangunkan dengan mendapat kerjasama serta maklum balas pihak industri berhubung kriteria yang mereka perlukan dalam usaha melahirkan graduan yang mampu memenuhi permintaan pasaran.

Justeru, beliau berharap pengiktirafan itu akan dijadikan pendorong bagi Akademi Bahasa dalam usaha menjadikan pusat berkenaan bertaraf antarabangsa selain menjadikannya antara sebagai pusat rujukan, penyelidikan dan latihan bidang bahasa.