Tunku Temenggong Kedah itu diiringi isteri, Tunku Puan Temenggong Kedah Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff yang turut meluangkan masa melawat gerai pameran khas yang memeriahkan acara tersebut di pekarangan muzium berkenaan.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan isteri, Datin Seri Hizam Awang Ahmad serta Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Kamarul Baharin A. Kassim.

Pada majlis berkenaan, Tunku Sallehudin turut berkenan me­nyampaikan Anugerah Ikon Negarawan Kedah kepada Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr. Wan Shamsudin Mohd. Yusof sebagai menghargai jasa beliau dalam bidang sejarah.

Acara bertemakan ‘Muzium dan Landskap Budaya’ yang berlangsung sehingga 21 Mei itu bakal menonjolkan kira-kira 20 program menarik bertujuan mendekatkan lagi masyarakat kepada muzium.

Sambutan yang dibuka kepada pengunjung bermula dari 10 pagi hingga 10 malam itu antara lain melibatkan pameran daripada 20 muzium seluruh negara yang mempamerkan keunikan budaya, kesenian dan sejarah negeri ma­sing-masing.

Sementara itu, Ahmad Bashah ketika berucap pada majlis tersebut berkata, sambutan tersebut akan merancakkan lagi kempen Discover Kedah dan seterusnya memberikan impak yang positif kepada sumber ekonomi dan pendapatan masyarakat setempat, industri dan negeri.

“Fungsi muzium juga semakin berkembang selaras dengan kehendak masyarakat yang mana ia turut menyumbang kepada pe­ningkatan ekonomi negara ter­utamanya kepada sektor pelancongan.

“Di samping itu, aktiviti-aktiviti yang dijalankan juga adalah merupakan salah satu tanggungjawab sosial muzium terhadap masyarakat dan negara,” kata beliau.