Cuma kali ini mudaratnya le­bih buruk dan berbahaya. Pen­duduk setempat sudah lali dengan keadaan itu tetapi tiada tindakan diambil, penulis faham keadaan ini, jika yang mendiami kawasan itu adalah orang politik, kenamaan atau pihak istana sudah lama tindakan diambil.

Sepatutnya sejak hari pertama lagi pengurusan bencana tersebut dilakukan secara sistematik bukan sahaja melibatkan pesakit atau mangsa tetapi cara membersihkan pencemaran termasuk menguruskan penduduk yang tinggal di kawasan terlibat.

Sewajarnya ditubuhkan satu sekretariat khas atau pangkalan data digital dan dimasukkan dalam portal Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) atau laman sesawang Kementerian Kesihatan selain boleh juga mewujudkan portal khas bencana toksik Sungai Kim Kim.

Pangkalan data itu menyiarkan informasi terkini melibatkan jumlah mangsa pada setiap hari dan statistiknya secara total sejak tragedi itu berlaku. Ini melibatkan pesakit yang dirawat atau dimasukkan dalam wad di hospital dan klinik milik kerajaan atau swasta.

Fungsinya juga untuk memaklumkan keadaan setempat terutama kawasan paling hampir dengan tempat pencemaran, sebagai contoh gas beracun boleh merebak sejauh berapa kilome­ter, tahap bahayanya serta radius yang dibahagikan kepada zon merah, kuning dan hijau.

Begitu juga maklumat asas seperti topeng jenis apa yang berkesan digunakan dan apa langkah-langkah harus dilakukan untuk mengelak atau selepas terkena simptom-simptomnya. Sampai hari ini kita boleh lihat di kawasan terlibat, orang ramai masih tidak memakai topeng dan ada yang memakai topeng tetapi bukan jenis disarankan.

Ini perkara-perkara asas yang wajar dimaklumkan. Ketika ini boleh dilihat orang ramai bi­ngung dan tidak tahu pihak mana untuk dirujuk malah diburukkan lagi dengan mesej-mesej palsu tular dalam media sosial. Penduduk bingung kerana tidak tahu apa perlu dilakukan dan apa sebenarnya yang berlaku di sekeliling mereka.

Sepatutnya pangkalan data atau portal khas itu juga memaklumkan perkembangan uda­ra semasa di kawasan tertentu, pemakluman tarikh sekolah dibuka atau ditutup dan menafikan sebarang berita palsu yang tular hingga mencetuskan situasi cemas, contohnya sebelum ini tersebar cerita seorang mati akibat pencemaran toksik.

Sekiranya beberapa perkara itu gagal difahami dan dijelaskan kepada rakyat, inilah faktor sebenar yang akan mencetuskan situasi panik. Sebagai kerajaan sepatutnya meminta rak­yat bertenang dan maklumkan mereka langkah-langkah yang perlu diambil termasuk berpindah dari kediaman masing-ma­sing jika difikirkan perlu.