Tuan Amirul Daniel  Tuan Mat, 12, satu-satunya murid sekolah rendah dari begeri ini yang dipilih beraksi dalam kejohanan bola sepak bertaraf dunia bermula 2 hingga 9 Ogos depan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Gaal, Mohd. Rodzi Jaafar berkata, pemilihan murid berkenaan bukan sahaja mengharumkan nama sekolah tetapi mengukir nama negeri dan negara di arena sukan antarabangsa. 

Menurutnya, bakat dan kemahirannya dalam bola sepak seharusnya menjadi contoh ikutan kepada kanak-kanak lain untuk turut sama mempelajari teknik dan kemahiran sama ada menerusi kelab sukan, akademi bola sepak mahu pun Pendidikan Jasmani di sekolah. 

"Saya bangga dengan kejayaan Tuan Amirul dan kesungguhan bapanya, Tuan Mat Tuan Abdullah, 42, seorang pemandu lori yang berkerja dengan kedai barang pembinaan turut meluangkan masa menghantar anaknya berlatih dalam Akademi Tunas Bola Sepak daerah setiap hujung minggu, " katanya ketika ditemui di SK Wakaf Raja, dekat sini, hari ini. 

Tuan Amirul akan bertolak ke Kuala Lumpur petang ini untuk bersama skuad negara sebelum bertolak ke China. 

Mohd. Rodzi berkata, beliau terpanggil untuk menemui Tuan Amirul dan memberi sedikit sumbangan sebagai penghargaan di atas kejayaannya. 

Menurutnya, usaha melahirkan tunas muda perlu dilaksanakan di peringkat Dewan Undangan Negeri agar bakat dan kebolehan warga pedalaman dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi

Tuan Amirul ketika ditemui berkata, dia terharu dengan sokongan warga guru dan komuniti setempat yang bukan sahaja memberi sokongan moral malah turut menghulurkan sumbangan wang tunai. 

"Saya akan melakukan sesuatu yang terbaik sebagai hadiah kepada penduduk Gaal, ibu bapa dan memastikan skuad negara mencapai kemenangan dalam kejohanan itu. - UTUSAN ONLINE