Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pemeriksaan kualiti udara di dua kawasan tersebut menggunakan alat pengesan gas tidak menunjukkan kehadiran gas beracun.

"Pemeriksaan ke kawasan sungai terbabit menemukan beberapa tong, namun ia tidak mengeluarkan gas beracun. Jika ia mengandungi gas beracun, pasti kita dapat kesan serta-merta menggunakan alat pengesan gas.

"Bagaimanapun, ia tetap me­ru­pakan satu pencemaran dan kerajaan negeri melalui agensi berkaitan sedang dalam usaha melakukan kerja-kerja pembersihan," katanya kepada pemberita selepas membentangkan laporan berhubung pencemaran toksik Sungai Kim Kim di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal.

Kelmarin, akhbar melaporkan penemuan beberapa tong biru yang dipercayai me­ngandungi sisa kimia di Sungai Selangkah dan Sungai Masai hingga mendatangkan keresahan penduduk.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau sebanyak 46 tempat baharu yang dikenal pasti berpotensi menjadi sumber pencemaran di zon perindustrian Pasir Gudang.

Tambahnya, penemuan tempat baharu itu diperolehi semasa pemantauan ke atas Sungai Kim Kim dijalankan, namun 46 lokasi itu tiada kena mengena dengan pencemaran sungai tersebut.

“Lokasi itu berpotensi menjadi sumber pencemaran mengikut data satelit dan kita dah tengok juga melalui dron sebelum kita hantar pegawai untuk pemantauan lanjut bagi memperoleh maklumat dan angka yang tepat.

“Itu kita akan serahkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.