Ibrahim Mahmud, 68, dari Kampung Pantai Seberang Marang, di sini adalah antara peng­­­u­saha bot di daerah ini yang masih setia dan aktif dengan kerja tersebut yang diwarisi bapanya sejak berpuluh tahun lalu, ketika kebanyakan pengusaha lain sudah berhenti ekoran ketiadaan tenaga pelapis berkemahiran.

Apa yang menarik, Ibrahim meneruskan kerja-kerja warisan pembinaan bot peninggalan bapanya itu bersama adiknya, Razak Mahmud, 60, dan juga dua orang anak saudaranya iaitu Mohd. Rodzi, 28, dan Mohd. Zul, 22, (kedua-duanya anak Razak).

Malah, Ibrahim turut berharap agar kedua-dua anak saudaranya itu nanti bakal menjadi pewaris untuk meneruskan kerja-kerja warisan dalam pembinaan bot peninggalan keluarga.

“Tidak ramai anak muda sekarang sanggup melakukan kerja-kerja seperti ini apatah lagi kerja itu dilakukan bersama keluarga. Membuat bot memerlukan kemahiran yang sangat tinggi, perlu ada minat dan kesungguhan serta perlu dilakukan dengan penuh teliti,” kata Ibrahim ketika ditemui di bengkel botnya di Kampung Gong Tepas, Jalan Batangan di sini baru-baru ini.

Menurutnya, suatu ketika dahulu kerja-kerja membuat bot dilakukan di Kampung Pantai Seberang Marang tetapi berpindah ke lokasi baharu iaitu Kampung Gong Tepas kerana kedudukannya strategik, tepi sungai yang memudahkan urusan menarik bot ke dalam air dan juga mendaratkan bot nelayan yang me­nga­lami kerosakan untuk dibaiki.

Katanya, selain mem­bina bot baharu ditempah pelanggan, di bengkel itu turut menjalankan perkhidmatan membaiki bot yang mengalami kerosakan atau nelayan yang ingin mengecat bot mereka.

“Pembinaan bot baharu me­ngambil masa antara dua hingga tiga tahun bergantung kepada saiz dan keadaan manakala harga sebuah bot sepanjang 60 kaki termasuk kulit dan enjin adalah sekitar RM500,000.

“Prosesnya mengambil masa kerana kerja-kerja asas antaranya membuat pasak, baji, lunas, selain mencari kulit kayu gelam bagi memastikan bot tidak bocor,” katanya.

Sementara itu, Razak pula memberitahu, dia dan abangnya menjalankan kerja-kerja membuat bot sejak arwah bapanya masih ada dan menimba ilmu kemahiran tersebut sewaktu zaman remaja.

Katanya, hanya dia dan abangnya yang cenderung me­lakukan kerja-kerja tersebut dan sebelum itu dia pernah menjadi nelayan pukat jerut serta pukat tangkul.

“Saya berharap, ilmu dan kemahiran dalam kerja-kerja ini diteruskan pula oleh kedua-dua anak saya, Mohd. Rodzi dan Mohd. Zul. Kedua-duanya mula bekerja di sini selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Memandangkan pelajaran kedua-dua beradik ini tidak seberapa biarlah mereka beri perhatian terhadap ilmu kemahiran ini.

“Lagipun kerja sekarang bukan mudah, kalau mereka gigih dan terus berusaha menguasai kemahiran ini suatu hari nanti sudah pasti boleh membantu kehidupan mereka,” katanya.