Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan upa­cara pelancaran itu pagi ini di Jeti Duyong Marina & Resort di Kuala Nerus dekat sini.

Keberangkatan baginda diiringi Sul­tanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor UMT.

Majlis pelancaran turut dihadiri Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; isterinya, Tuan Faizah Tuan Abd. Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Mufti Nege­ri Terengganu, Datuk Dr. Zulkifly Muda.

Yang hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Dr. Halim Mohamad dan Naib Canselor universiti berkenaan, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar.

RV Discovery akan memulakan ekspedisi Pelayaran Penyelidikan Saintifik hingga 6 April ini dan dalam tempoh itu, kapal tersebut akan berlabuh di Dermaga Tanjung Lembung, Pulau Langkawi 24 Mac ini bagi me­nyertai pameran fasiliti LIMA '19.

Pelayaran RV Discovery itu akan menempuh lebih 40 lokasi kajian di sepanjang laluan ma­ritim bagi menjalankan kajian sains marin selain perubahan iklim Malaysia.

Dalam pada itu, Dr. Nor Aieni dalam ucapannya ber­ka­ta, sempena LIMA '19 pada 26 hingga 30 Mac ini, UMT menjayakan pelancaran penye­lidikan saintifiknya mulai esok dengan mengete­ngahkan Ketua Pelayaran Wanita, Dr. Roswati Md. Karim.

“Dr. Roswati adalah Pengerusi Program Biologi Marin Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT yang mengetuai pelayaran mengelilingi Seme­nanjung melalui dua laluan ma­ritim iaitu Laut Cina Selatan dan Selat Melaka selama 20 hari yang turut disertai 25 saintis terma­suk lima saintis wanita,” jelasnya.