Perayaan-perayaan itu antaranya Deepavali, Pongal, Durga Puja, Maha Shivaratri, Thaipusam, Wesak, perayaan hantu dan Krismas.

Perkara itu dinyatakan oleh seorang pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Ahmad Tirmizi Taha ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk `Garis Panduan Dalam Meraikan Perayaan Bukan Islam di Malaysia.

Pembentangan itu dibuat dalam Diskusi Fatwa: Hukum Meraikan Perayaan Orang Bukan Islam anjuran Jabatan Mufti Negeri Terengganu di Dewan Serbaguna Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) di sini hari ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Yahaya Ali.

Ahmad Tirmizi seterusnya menjelaskan bahawa para fuqaha (pentaksir makna al-Quran dan hadis) mempunyai perbezaan pendapat mengenai hukum menyambut perayaan bukan Islam.

Katanya, pendapat pertama menyatakan orang Islam adalah haram meraikan perayaan bukan Islam berbentuk uruf sepenuhnya dan perayaan adat yang tiada unsur agama tetapi asalnya adalah ritual agama atau sebaliknya.

“Manakala pendapat kedua pula mengharuskan orang Islam meraikan perayaan bukan Islam dengan syarat tidak wujud dalam perayaan itu perkara-perkara maksiat seperti tari-menari, pergaulan bebas dan pemujaan.

“Di antara yang berpegang dengan pendapat ini adalah Lajnah Fatwa Al-Azhar dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyebut perayaan Tahun Baru Cina sebagai contoh di mana perayaan itu yang disambut kaum Cina di seluruh dunia tidak dianggap sebagai sambutan perayaan agama Buddha.

Ini kerana, jelasnya, perayaan itu disambut oleh seluruh kaum Cina termasuk yang bukan penganut Buddha dan atas sebab itu, umat Islam juga diharuskan meraikannya.

“Melainkan, jika ia (Tahun Baru Cina) disambut secara ritual agama Buddha oleh penganutnya dalam perayaan ini, maka diharamkan umat Islam terlibat dalam upacara itu. Jika tidak disambut secara ritual, maka diharuskan kepada umat Islam meraikannya menurut pendapat kedua,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE