Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mok­htar berkata kerajaan pusat bertanggungja­wab menyemak kem­bali jumlah royalti yang sepatutnya diterima oleh Terengganu secara keseluruhan, berdasarkan perjanjian agihan yang telah ditandatangani di antara kedua-dua belah pihak pada 1974.

Katanya, selepas berakhir pili­han raya umum (PRU) Ke-14 Mei lalu, ada tiga kali pembayaran yang telah dibuat oleh kerajaan pusat secara terus kepada kerajaan negeri dengan jumlah kese­luruhan RM450 juta.

“Kita tidak ada satu kepastian tentang jumlah sebenar, tetapi daripada pe­ngiraan kasar kita jangka masih ada (baki) sekurang- kurang­nya RM250 juta lagi yang sepatutnya menjadi milik kerajaan ne­geri.

“Jadi dengan tahun 2018 yang tinggal dua hari lagi, masih menjadi tanggungjawab pihak perbendaharaan ia­itu Kementerian Kewangan untuk melunaskan baki tersebut kepada rakyat negeri Terengganu,” katanya kepada pemberi­ta selepas Malam Penghargaan Media Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) di sini.

Ahmad Samsuri berkata, se­kiranya kerajaan negeri gagal menuntut baki royalti seperti yang dijangka, perbelanjaan negeri bagi suku pertama tahun depan masih berjalan seperti bajet yang dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November lalu.

“Selepas suku pertama itu barulah kita akan lihat macam mana cara yang sepatutnya sa­ma ada kita kaji semula atau tidak,” katanya.

Sementara itu, dalam per­kembangan lain Ahmad Samsuri berkata, keyakinan pelabur ter­hadap reputasi syarikat milik kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) tidak terjejas walaupun siasatan dalaman terhadap beberapa pegawai kanannya sedang berjalan.

Ahmad Samsuri berkata pada masa ini tiada keperluan untuk kerajaan negeri melantik jawatankuasa baharu bagi menerajui EPIC Berhad kerana percaya dengan keupayaan pengurusan sedia ada. – BERNAMA