Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya memberi perhatian serius dalam soal itu kerana aspek pengendalian bahan kimia tidak boleh diambil mudah sebagaimana standard yang diguna pakai di negara-negara maju.

Katanya, hal itu kerana Terengganu memiliki kawasan industri berat di samping minyak dan gas yang beroperasi pada skala besar di negeri ini.

“Saya sebenarnya sudah memaklumkan kepada agensi kerajaan negeri dan kepada Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya untuk mengambil tindakan proaktif bagi menghalang perkara itu berlaku di Terengganu.

“Alhamdulillah, setakat ini kita dapati suasana sungai di Terengganu dalam keadaan baik berbanding di tempat lain. Kita harap keadaan positif ini dapat terus berkekalan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 peringkat negeri di bilik mesyuarat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, empat pelajar terbaik SPM 2018 negeri secara automatik akan menikmati manfaat Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang bagi membiayai pengajian mereka di peringkat ijazah pertama.

Katanya, pelajar itu ialah Muhammad Hilman Nor Azmi dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Terengganu dan Nurin Batrisyia Mohd. Azmi dari SMIYT Besut yang masing-masing mendapat 11A+ manakala Amirah Husna Abdul Kahar dari SM Sains Sultan Mahmud dan Nur Atiqah Syuhadah Hamdan dari SMK Tengku Lela Segara pula mendapat 9A+.

Tabung Biasisawa Pelajar Cemerlang merupakan antara 20 tawaran dalam manifesto Pas Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dengan memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi pembiayaan hingga tamat pengajian ijazah pertama. - UTUSAN ONLINE