Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan upacara pelancaran itu pagi ini di Jeti Duyong Marina & Resort di sini.

Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor UMT.

Majlis pelancaran itu dihadiri Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; isterinya, Tuan Faizah Tuan Abd. Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr. Zulkifly Muda.

Yang hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Dr. Halim Mohamad dan Naib Canselor universiti berkenaan, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar.

RV Discovery akan memulakan ekspedisi Pelayaran Penyelidikan Saintifik hari ini hingga 6 April depan dan dalam tempoh itu, kapal tersebut akan berlabuh di Dermaga Tanjung Lembung, Pulau Langkawi 24 Mac ini bagi menyertai pameran fasiliti LIMA ‘19.

Pelayaran RV Discovery itu akan menempuh lebih 40 lokasi kajian di sepanjang laluan maritim itu bagi menjalankan kajian sains marin selain perubahan iklim Malaysia.

Dalam pada itu, Dr. Nor Aieni dalam ucapannya berkata, sempena LIMA ‘19 pada 26 hingga 30 Mac ini, UMT menjayakan pelancaran penyelidikan saintifiknya mulai esok dengan mengetengahkan Ketua Pelayaran Wanita, Dr. Roswati Md. Karim.

“Dr. Roswati adalah Pengerusi Program Biologi Marin Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT yang mengetuai pelayaran mengelilingi Semenanjung melalui dua laluan maritim iaitu Laut Cina Selatan dan Selat Melaka untuk selama 20 hari yang turut disertai 25 saintis termasuk lima saintis wanita,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE