Pengerusinya, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, pada masa sama Pewaris juga merakamkam ucapan terima kasih kepada guru-guru terlibat sehingga berjaya meletakkan Terengganu negeri terbaik dengan peratus lulus penuh 99.79 peratus berbanding 99.67 peratus pada 2017.

Beliau menjelaskan, dari segi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2018 mencatat 2.99 berbanding 2.91 pada 2017.

“Jadi, atas kecemerlangan itu, Pewaris Terengganu menzahirkan ucapan tahniah dan kami juga ucap terima kasih kepada warga pendidik khususnya guru pra-universiti di Terengganu,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi whatsapp di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Pewaris Terengganu mencadangkan Kerajaan Terengganu memberikan penganugerahan khas kepada pelajar-pelajar cemerlang tersebut sebagai galakan di atas kejayaan mereka termasuk mengharumkan nama sekolah-sekolah terlibat.

Beliau turut percaya kejayaan serupa dapat dicapai dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang dijangka akan diketahui beberapa hari lagi.

“Pewaris amat yakin pemberian inisiatif ini akan mengekalkan daya saing di kalangan murid dan sekolah untuk mengejar kecemerlangan serta menjulang nama negeri Terengganu.

“ Selain itu, Pewaris juga berharap sokongan kewangan kepada pendidikan Terengganu akan diteruskan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2019,” katanya. - .UTUSAN ONLINE