Yang Dipertua Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) KeDS, Abd. Ghafar Mohamed berkata, walaupun tema hari guru ‘Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi’ KeDS menyambut hari guru dengan tema sambutan ‘Cara Hidup Nelayan’ bertepatan bilangan besar pelajar yang terdiri daripada anak nelayan.

Menurut Abd. Ghafar, idea sambutan kali ini dicetus oleh Pengetua KeDS, Ismail Md. Ali yang turut dijayakan oleh 69 orang guru dan 689 orang pelajar.

“Sambutan selama lima jam itu bermula dengan sukaneka di Padang Awam Kerteh dan berakhir di Dewan Seri Gelugor, KeDS yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Saiful Azmi Suhaili.

“PIBG diberi tanggungjawab menguruskan sambutan dengan kerjasama Kelab Guru dan Staf (KGS), para pelajar dan Alumni KeDS,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Pelbagai acara diadakan antaranya, membawang, tangkap ayam, membilis, mengupas bawang, pancing botol dan persembahan pelajar.

Disamping itu pelbagai anugerah khas kepada guru disediakan bagi mengenang jasa mereka seperti Guru Paling Sporting, Guru Paling Popular, Guru Paling Cakna, Guru Paling Macho dan Guru Paling Penyayang.

Selain menerap kesedaran mengenai jasa guru kepada pelajar dan masyarakat, pengisian program kali ini juga menjalin hubungan akrab antara sekolah, PIBG dan masyarakat setempat. - UTUSAN ONLINE