Pengarahnya, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, pemantauan pegawai dan anggotanya di lapangan mendapati harimau itu bertindak masuk ke hutan dengan sendiri kira-kira pukul 5.30 petang.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini pemerhatian masih lagi diteruskan bagi memantau keadaan semasa sekiranya mamalia itu keluar semula dari habitatnya.

Katanya, kejadian seumpama itu merupakan yang pertama dilaporkan berlaku di Bukit Besi bagi tahun ini.

“Pegawai dan anggota kita telah dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Kita memantau gerak-geri harimau yang berkeliaran di tepi jalan itu supaya ia tidak agresif di samping turut mengawal orang ramai agar tidak menghampiri haiwan liar tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Penduduk sebuah perkampungan di Bukit Besi gempar apabila mendakwa dua ekor harimau ‘melawat’ kampung mereka hari ini.

Haiwan itu dikatakan berkeliaran di sekitar kawasan kediaman penduduk kira-kira pukul 9 pagi tadi selain turut berada di atas jalan raya dan mengejar penunggang motosikal yang menggunakan laluan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Abdul Malek menasihatkan orang ramai agar memberi kerjasama kepada pihak Perhilitan dan sentiasa berwaspada dengan hidupan liar yang sukar diramal. - UTUSAN ONLINE