Pengarahnya, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan meneruskan pemantauan di lokasi hidupan liar melintas menerusi kaedah tembak dan halau.

“Di samping itu kita juga akan memasang papan tanda di lokasi-lokasi lintasan hidupan liar itu.

“Jika gajah ini berterusan mengganggu penduduk dan pengguna jalan raya, pemindahan gajah akan dijalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Malek berkata, gajah separa dewasa yang mati dilanggar sebuah treler membawa muatan bijih besi di kilometer 44, Jalan Kuala Berang-Aring kira-kira pukul 8.30 malam tadi dianggarkan berusia antara 7 hingga 9 tahun dengan berat kira-kira 1.5 tan.

Katanya, bangkai haiwan liar itu dilupuskan dengan ditanam berdekatan lokasi kejadian, tengah malam tadi.

Kelmarin, seekor rusa betina yang sedang melintas di Kilometer 107 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu berhampiran Bandar Paka di Kemaman mati dilanggar penunggang motosikal dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi.

Terdahulu, negeri ini gempar dengan seekor harimau belang yang berkeliaran di Kampung Besol, Bukit Besi dekat Dungun pada 18 Julai lalu dan enam hari berikutnya muncul lagi `tetamu tidak diundang’ iaitu seekor beruang matahari yang masuk perangkap di Felda Belara, Kuala Nerus.

Haiwan liar dari spesies Malayan Sun Bear atau nama saintifiknya Helarctos Malayanus seberat kira-kira 70 kilogram itu berjaya diperangkap kira-kira 9.30 malam dalam kebun milik peneroka Felda berkenaan.

Rabu lalu, muncul sekumpulan ikan paus pilot sirip pendek yang dikesan di perairan Besut selepas kehadiran dua ekor ikan paus pembunuh di perairan Terengganu baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE